Pusat Media

Semenanjung Malaysia Beralih Ke Siaran Tv Digital Sepenuhnya Dengan Penutupan Siaran TV Analog Pada Malam 14 Oktober 2019

09 Okt 2019
SEMENANJUNG MALAYSIA BERALIH KE SIARAN TV DIGITAL SEPENUHNYA DENGAN PENUTUPAN SIARAN TV ANALOG PADA MALAM 14 OKTOBER 2019
 
  • Wilayah Utara dan Timur Semenanjung Malaysia akan menutup sepenuhnya  siaran TV analog pada malam 14 Oktober 2019
  • Peringkat akhir, penutupan siaran TV analog yang bersejarah akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019, menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog di Malaysia yang ditawarkan secara percuma sejak 1963  
CYBERJAYA, 9 Oktober 2019 --- Siaran TV terrestrial analog di wilayah utara dan timur di Semenanjung Malaysia akan ditutup sepenuhnya pada malam 14 Oktober 2019. Dengan ini, keseluruhan Semenanjung Malaysia akan beralih sepenuhnya kepada siaran TV digital myFreeview.  

Negeri-negeri yang terjejas termasuk Kedah, Perlis, Perak dan Pulau Pinang bagi wilayah utara; Kelantan, Terengganu dan Pahang bagi wilayah timur. Penutupan siaran TV analog di wilayah utara dan timur ini  menandakan berakhirnya era penyiaran TV analog sepenuhnya di Semenanjung Malaysia.  

Siaran TV digital myFreeview menjanjikan imej gambar yang lebih tajam, bunyi yang berkualiti tinggi dan perkhidmatan TV interaktif yang akan memacu keperluan ekonomi, sosial dan pendidikan negara dan rakyatnya.  

Sebagai sebahagian daripada fasa peralihan, wilayah tengah dan selatan telah pun melaksanakan proses peralihan daripada siaran TV analog kepada siaran TV digital myFreeview pada 30 September 2019.  

Fasa akhir penutupan siaran TV analog akan berlangsung di Sabah dan Sarawak pada 31 Oktober 2019, detik bersejarah buat Negara ke arah era pendigitalan dalam landskap penyiaran, dan juga menandakan berakhirnya siaran TV analog di Malaysia yang ditawarkan secara percuma sejak 1963.  

Pelbagai perancangan dan usaha bersepadu telah diambil bagi memastikan inisiatif ini menjadi kenyataan, terutamanya sokongan padu daripada pihak penyiar, penyedia perkhidmatan rangkaian, kerajaankerajaan negeri, media dan pihak-pihak berkepentingan utama yang lain.  

Dengan adanya siaran TV digital myFreeview, para penonton boleh menikmati pelbagai saluran TV, radio, dan aplikasi-aplikasi baharu seperti membeli-belah dalam talian, pembelajaran interaktif dan banyak lagi melalui 15 saluran TV dan enam (6) saluran radio termasuk TV1, TV2, TV3, NTV7, 8TV, TV9, TV Al Hijrah, dan Bernama News Channel (BNC).  

Bagi mereka yang masih belum beralih kepada platform siaran TV digital myFreeview, anda adalah digalakkan untuk berbuat demikian dengan i) mendapatkan dekoder dan memasang aerial Ultra Frekuensi Tinggi (UHF) dan memasangnya kepada set TV sedia ada, atau ii) mendapatkan Integrated Digital TV (IDTV) yang telah dilengkapi dengan penala digital dan memasang kepada aerial UHF.  

Dekoder percuma turut diedarkan kepada isi rumah B40 yang berkelayakan. Penonton TV boleh memeriksa kelayakan untuk mendapatkan dekoder percuma dengan cara-cara berikut:  
i) Taip MYTV (jarak) DEKODER (jarak) (nombor kad pengenalan anda) dan hantar ke 15888  
ii) Layari laman www.mytvbroadcasting.my/B40  
iii) Hubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan myFreeview di talian 1300-80-6988 atau 1800-18-1088 
Kongsi artikel ini
Follow