Media & Events

Penipuan Menggunakan Nama MCMC: Orang Ramai Digesa Untuk Berwaspada

10 Oct 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ingin memaklumkan bahawa pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang e-mel atau mesej kepada orang awam untuk menuntut hadiah berupa wang tunai di bawah satu skim bonus yang ditawarkan oleh sebuah syarikat telekomunikasi.

E-mel berkenaan yang kembali tular di media sosial antara lain mendakwa, hasil pemantauan yang dijalankan oleh Rangkaian Pemantauan Perisikan Siber mendapati si mangsa yang ditujukan mesej berkenaan masih mempunyai transaksi yang belum diselesaikan dengan syarikat Telekom Malaysia Berhad, iaitu sebagai pemenang hadiah wang tunai sebanyak RM270,000 di bawah skim TM Family Gift Bonus.

Sehubungan itu, orang ramai adalah digesa untuk sentiasa berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan e-mel atau mesej yang tidak ditentukan kesahihannya. Elak daripada memberikan butiran peribadi seperti kad dan nombor akaun bank kepada individu yang tidak dikenali.

Pada masa yang sama, MCMC menegaskan, sebarang penggunaan logo MCMC oleh mana-mana pihak tanpa mendapat kelulusan daripada Suruhanjaya berkenaan adalah satu kesalahan.

Sebarang laporan dan aduan berhubung penerimaan mesej sedemikian boleh dimajukan kepada pihak MCMC melalui talian aduan 1 800 188 030, atau melalui aplikasi WhatsApp di talian 016 2206262. Orang ramai juga boleh membuat aduan berhubung perkara ini dengan menghantar e-mel ke [email protected] atau melayari laman sesawang MCMC, https://aduan.skmm.gov.my untuk tindakan susulan.

PDF
Share this article
Follow