Pusat Media

Siaran Akhbar: Kesalinghubungan Pemangkin Kepada Sebuah Masyarakat Digital Yang Progresif

15 Mei 2020
KESALINGHUBUNGAN PEMANGKIN KEPADA SEBUAH MASYARAKAT DIGITAL YANG PROGRESIF
  • Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals tema sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) tahun ini
  • Industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) bernilai RM144.01 bilion di bursa saham tempatan
CYBERJAYA, 15 Mei 2020 --- Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (World Telecommunications and Information Society Day) atau WTISD yang disambut pada 17 Mei setiap tahun sejak 1969, bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai potensi yang boleh dicapai melalui penggunaan Internet serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) kepada kesejahteraan masyarakat dan negara.

Tema sambutan WTISD 2020 ialah Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals. Ia memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT sebagai pemangkin pembangunan pintar dan mampan selain memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial. Komitmen pihak Kerajaan untuk memastikan kesalinghubungan dalam negara turut dizahirkan melalui laporan prestasi industri Komunikasi dan Multimedia (C&M) yang dikeluarkan saban tahun. Usaha ini akan terus mengukuhkan proses pendigitalan di dalam negara dan memastikan kelestariannya sekaligus memperkasakan rakyat ke arah kehidupan yang lebih berkualiti.

Sepanjang tahun 2019, secara keseluruhannya industri C&M di Malaysia mencatatkan prestasi yang baik. Nilai permodalan pasaran (market capitalisation) keseluruhan mencecah RM144.01 bilion atau 8.4% daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia. Daripada jumlah tersebut, RM134.01 bilion disumbangkan dari sektor telekomunikasi, RM7.29 bilion dari sektor penyiaran dan RM2.71 bilion dari sektor pos dan kurier. Menurut statistik Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), nilai berkenaan merupakan peningkatan sebanyak RM6.28 bilion ataupun bersamaan 4.56% berbanding dengan tahun 2018 yang mencatatkan sebanyak RM137.73 bilion.

Statistik tersebut juga mendapati, industri C&M telah menjana hasil sebanyak RM43.37 bilion dengan sektor telekomunikasi menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 80.2% atau bersamaan RM34.8 bilion. Sektor penyiaran pula menjadi penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 13.6% (yakni bersamaan dengan RM5.88 bilion) manakala jumlah hasil yang dijana oleh sektor pos dan kurier adalah sebanyak RM2.69 bilion ataupun 6.2%. Bagi Perbelanjaan Modal ataupun Capital Expenditure (CAPEX) sektor telekomunikasi sepanjang 2019, nilai perbelanjaan yang direkodkan adalah sebanyak RM4.6 bilion. Daripada jumlah tersebut, RM2.97 bilion digunakan untuk CAPEX perkhidmatan mudah alih manakala RM1.63 bilion untuk CAPEX perkhidmatan tetap.

Dalam hal ini, kebanyakan CAPEX digunakan untuk menaik taraf rangkaian mudah alih dan gentian optik bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti rangkaian sekaligus membolehkan sektor telekomunikasi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan. Aspek kesalinghubungan merupakan pemacu kepada peningkatan hasil penyedia perkhidmatan sejak dua dekad yang lalu. Sepanjang 2019, jumlah langganan jalur lebar adalah sebanyak 43.38 juta yang mana daripada jumlah berkenaan, 2.95 juta adalah untuk langganan jalur lebar tetap iaitu peningkatan sebanyak 10.9% berbanding dengan 2.66 juta pada 2018. Manakala, langganan jalur lebar mudah alih pula meningkat sebanyak 9.9% kepada 40.43 juta berbanding 36.79 juta pada 2018. Bagi liputan di kawasan berpenduduk pula, liputan 3G adalah sebanyak 95.5% pada 2019 berbanding 94.7% pada 2018. Sementara liputan 4G LTE berada pada paras 82.2% pada 2019 berbanding 79.7% pada 2018. Dalam pada itu, trend peningkatan turut kelihatan dalam jumlah langganan selular mudah alih. Sepanjang 2019, jumlah langganan mudah alih adalah sebanyak 44.6 juta iaitu peningkatan sebanyak 5.2% berbanding 42.41 juta pada 2018. Kesemua peningkatan tersebut didorong oleh pelbagai faktor seperti peluasan liputan, kemampuan yang lebih besar, kualiti perkhidmatan lebih baik serta peningkatan penggunaan data dan telefon pintar. Sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), juga dapat diperhatikan bahawa kadar penggunaan jalur lebar oleh para penduduk adalah tinggi. Menyedari hakikat itu, Kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) pada 27 Mac 2020 lalu menerusi penawaran beberapa pakej khas termasuk 1GB Internet percuma setiap hari bagi mempermudahkan urusan harian rakyat.

Pada masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP), iaitu pelan lima tahun bermula dari 2019, dilaksanakan bagi menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. NFCP akan memastikan rakyat dapat menikmati pengalaman jalur lebar yang bukan sahaja berkualiti malahan dapat merapatkan jurang digital antara penduduk di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak serta kawasan-kawasan bandar dan luar bandar.

Pelaksanaan teknologi 5G yang sedang dilaksanakan di negara ini juga dijangka mengubah tahap kesalinghubungan dan menjadi pemboleh ubah penting kepada ekonomi negara sekaligus mempengaruhi kehidupan rakyat, perniagaan serta Kerajaan secara holisitik.

Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak berkata, “Tujuan utama sambutan WTISD adalah untuk meningkatkan kesedaran umum mengenai manfaat Internet serta teknologi-teknologi komunikasi yang lain, dalam memperkasakan masyarakat, memperkukuhkan ekonomi dan merapatkan jurang digital. Justeru, sebagai badan kawal selia industri C&M – menerusi inisiatif-inisiatif seperti NFCP dan 5G, MCMC komited untuk memastikan masyarakat di negara ini terus terhubung dan berupaya untuk memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi.” “

Ketika seluruh dunia sedang mengharungi pandemik COVID-19, kita tidak harus lupa bahawa teknologi dan telekomunikasi telah menjadi landasan untuk pengukuhan ekonomi dan kehidupan rakyat walaupun dalam situasi yang amat sukar. Oleh itu, marilah kita menghargai segala pencapaian yang telah dikecapi oleh industri ini, serta terus merentas segala halangan untuk mengubah kehidupan dan mewujudkan masa depan yang lebih baik,” ujar beliau. 

PDF
Kongsi artikel ini
Follow