Pusat Media

Siaran Akhbar: Malaysia Bakal Meneraju 5G Di Pentas Global

20 Jan 2020
MALAYSIA BAKAL MENERAJU 5G DI PENTAS GLOBAL 
 
● Pelaksanaan 5G boleh menyumbang hampir RM12.7 bilion kepada KDNK negara serta mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun yang akan datang – MIER
● Terdapat 72 kes kegunaan melibatkan sembilan vertikal (9) di 56 lokasi langsung beroperasi secara aktif bermula dari Oktober 2019 sehingga Jun 2020, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM143 juta,  dan 35 daripada kes kegunaan tersebut adalah di Langkawi 
 
LANGKAWI, 20 Januari 2020 --- Malaysia bakal mengukir namanya di arena global, setanding dengan negara-negara maju yang lain, dengan pelaksanaan Projek Demonstrasi 5G di seluruh negara yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC). 

Kemajuan dalam melaksanakan teknologi mudah alih generasi kelima (5G) ini juga mentakrifkan kesediaan ekonomi digital Malaysia, terutamanya industri serta perusahaan kecil dan sederhana, untuk menghadapi revolusi perindustrian keempat.  

Malaysia telah meletakkan asas menerusi Projek Demonstrasi 5G untuk menerajui pelaksanaan teknologi 5G di rantau Asia Tenggara. Menurut kajian terbaru oleh Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER), pelaksanaan 5G boleh menyumbang hampir RM12.7 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta mampu mewujudkan sebanyak 40,000 peluang pekerjaan baharu dalam tempoh lima tahun yang akan datang. 

Sebuah ekosistem 5G yang komprehensif kini dalam proses dengan pelbagai pendekatan baharu, yang merangkumi rangkaian dan perkongsian infrastruktur antara penyedia-penyedia perkhidmatan, semakan dasar, usaha sama dan sebagainya.  

Banyak perkhidmatan inovatif akan muncul, daripada realiti maya yang canggih, kenderaan berautonomi, sehinggalah kepada pembedahan perubatan jarak jauh. 5G akan menawarkan komunikasi berlatensi rendah yang sangat dipercayai, dengan kecekapan tenaga yang lebih baik serta meningkatkan privasi dan keselamatan. 

Projek Demonstrasi 5G di Langkawi adalah penting kerana ia mempunyai 35 kes-kes kegunaan melibatkan enam (6) vertikal di 25 lokasi langsung 5G yang beroperasi secara aktif bermula dari Oktober 2019 hingga Mac 2020 ini, dengan jumlah pelaburan sebanyak RM101 juta. Ini merangkumi separuh daripada jumlah keseluruhan 72 kes-kes kegunaan di enam (6) buah negeri iaitu Kedah, Penang, Perak, Selangor, Terengganu and Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. 

Antara kes-kes kegunaan yang ditunjukkan di Langkawi termasuklah Pertanian Pintar, Lapangan Terbang Pintar, Bandar Pintar, Penyelesaian Lampu Trafik Pintar, Pindahan Data Perubatan Dalam Masa Nyata Pemantauan Video 5G Langsung, Konsultasi Jarak Jauh dan Pelancongan Maya.

Tambahannya pula, terdapat tiga (3) kes-kes kegunaan di Pelabuhan Langkawi iaitu Kawalan Sempadan Digital, Penjejakan Pintar Untuk Kapal serta Geo-fencing dan Perimeter Pintar, juga adalah antara tarikan utama Projek Demonstrasi 5G di pulau tersebut. 

Projek Demonstrasi 5G tidak mungkin menjadi kenyataan tanpa kerjasama daripada pihak-pihak berkepentingan seperti Kerajaankerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan penyedia-penyedia perkhidmatan. 

Terdahulu, Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir Mohamad telah melawat dua (2) lokasi langsung Projek Demonstrasi 5G iaitu di Pejabat Daerah dan Tanah Langkawi, dan di Ibu Pejabat Polis Langkawi, Kuah, yang mendemonstrasikan kes kegunaan seperti 5G Command Centre (5GCC), eKelas, Penyelesaian Pertanian Pintar serta Sekuriti dan Keselamatan Bandar Pintar. 

Pada Ahad, 19 Januari, Tun Dr Mahathir telah melawat Hospital Sultanah Maliha bagi meninjau perkembangan kes-kes kegunaan penjagaan kesihatan digital iaitu Pindahan Data Perubatan Dalam Masa Nyata dan Ambulan Terhubung. Ini diikuti oleh Majlis Perasmian Projek Demonstrasi 5G di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi, yang merupakan satu pencapaian utama kepada Malaysia dalam usahanya untuk memacu agenda ekonomi digital. 

Selain itu, buat julung kalinya MCMC akan menganjurkan Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia selama dua (2) hari bermula 20-21 Januari 2020, membariskan panelis dan penceramah tersohor daripada industri untuk berbincang dengan lebih lanjut pembangunan dan prospek pelaksanaan 5G di Malaysia dan di serata dunia. Antara topik-topik yang akan menjadi perhatian dalam Persidangan itu, termasuklah perkongsian pengalaman dan pelaksanaan 5G di serata dunia. 

Sementara itu, semasa persidangan berkenaan, Pengerusi MCMC, AlIshsal Ishak akan menyerahkan Laporan Akhir Pasukan Petugas Khas 5G  mengenai Pelaksanaan 5G di Malaysia kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Gobind Singh Deo. Majlis tersebut akan disaksikan oleh Pengerusi Pasukan Petugas Khas 5G, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus, timbalannya, Muniff Kamaruddin; dan Penasihat Pasukan Petugas Khas 5G, Profesor Dr. Tharek Abdul Rahman. 

Laporan Akhir itu antara lain menggariskan prasyarat pelaksanaan 5G seperti keperluan-keperluan infrastruktur, penyelesaian pengurusan spektrum, dan hal-hal kawal selia meliputi kerjasama dengan Negeri dan pihak berkuasa tempatan serta menangani kebimbangan berhubung isu sekuriti, keselamatan dan kesihatan. 
Kongsi artikel ini
Follow