Media & Events

Program Bicara Klik Dengan Bijak (KDB) Terpilih Sebagai Calon Akhir Anugerah WSIS 2021

12 Mar 2021
CYBERJAYA, 12 Mac 2021 ---Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), iaitu Click Wisely Campaign: Online Public Awareness on Internet Safety and Security, atau Program Bicara Klik dengan Bijak (#BicaraKDB) telah terpilih sebagai calon akhir dalam kategori 17 Dimensi Etika untuk Masyarakat Bermaklumat, bagi fasa pengundian Anugerah World Submit of Information Society (WSIS) 2021 yang dianjurkan oleh Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bermula sekarang sehingga 31 Mac 2021.

Penyertaan #Bicara KDB pada WSIS 2021 menfokuskan kepada inisiatif advokasi dalam talian yang dijalankan pada tahun 2020 bagi menjayakan pelaksanaan program dan aktiviti pembudayaan norma baharu di era pandemik COVID-19.

Bagi Kategori 17 ini, MCMC akan bersaing dengan penyertaan daripada negara-negara seperti Amerika Syarikat, Rusia, Mexico, China, Perancis, Cuba, Colombia, Qatar dan lain-lain lagi. Pencalonan inisiatif MCMC ini membuktikan pengiktirafan masyarakat antarabangsa terhadap projekprojek yang telah dibangunkan di Malaysia.

WSIS Prizes adalah satu pertandingan antarabangsa yang unik, dibangunkan bagi menilai dan mengiktiraf projek cemerlang dalam melaksanakan strategi berorientasikan pembangunan yang memanfaatkan ICT sebagai pemangkin kepada pembangunan. WSIS Prizes juga merupakan satu platform untuk mengenal pasti dan mempamerkan kisah-kisah kejayaan dan model yang boleh dicontohi, untuk menghargai usaha pihak-pihak berkepentingan atas komitmen mereka dan nilai tambah yang diberikan kepada masyarakat ke arah mencapai matlamat WSIS.

MCMC pernah dinobatkan sebagai Juara Hadiah WSIS untuk tahun 2016, 2017 dan 2020 bagi projek “Komuniti Pintar Kemaman”, “Pembangunan e-Majalah untuk Sekolah-Sekolah di Daerah Komuniti Pintar di Malaysia” dan “Klik Dengan Bijak”.

Orang ramai adalah dijemput untuk mengundi projek-projek ini untuk dipilih sebagai pemenang bagi kategori yang dipertandingkan sebelum 31 Mac 2021. Mereka boleh mengundi menerusi pautan: https://www.itu.int/net4/wsis/stocktaking/Prizes/2021/ .

 

PDF

Share this article
Follow