Media & Events

Program Jaringan PRIHATIN Bantu Rakyat Kurang Berkemampuan (Cont')

06 May 2021
PROGRAM JARINGAN PRIHATIN BANTU RAKYAT KURANG BERKEMAMPUAN UNTUK SERTAI TRANSFORMASI DIGITAL

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) amat bersetuju bahawa agenda transformasi digital negara harus bersifat inklusif dengan melibatkan semua lapisan masyarakat dan merentasi pelbagai aspek kehidupan ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.

Transformasi digital mewujudkan peluang baharu untuk pembangunan ekonomi dan kemajuan sosial, namun pada masa yang sama ia turut meningkatkan risiko ketidaksamaan bagi mereka yang tidak terhubung secara digital. Masih terdapat golongan rakyat yang tidak berkemampuan untuk melanggan pelan jalur lebar bulanan dan membeli telefon pintar yang kini menjadi keperluan dalam urusan harian.

Sehubungan itu, Program Jaringan Prihatin yang dilancarkan oleh YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam adalah amat bertepatan pada masanya dan pihak MCMC amat menyambut baik usaha untuk menambah baik usaha-usaha yang telah dilaksanakan terdahulu. Program ini dirangka bagi membantu mengupayakan seramai 8.5 juta rakyat Malaysia dalam kumpulan B40 termasuk para pelajar untuk mengadaptasi dan terlibat dalam agenda transformasi digital negara.

Selain itu, kerajaan melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang dilancarkan pada 17 Mac 2021 lalu juga telah menambah peruntukan sebanyak RM500 juta untuk program ini yang menjadikan peruntukan daripada kerajaan berjumlah RM2 bilion, berbanding RM1.5 bilion sebelum ini.

Syarikat-syarikat telekomunikasi pula turut sama menyumbangkan RM1.5 bilion lagi dalam bentuk data percuma, menjadikan jumlah keseluruhan untuk program ini RM3.5 bilion. Penambahan peruntukan tersebut bertujuan membantu rakyat daripada keluarga kumpulan B40 untuk memiliki telefon pintar ataupun menikmati bantuan pelan jalur lebar Internet untuk digunakan bagi aktiviti seharian dan pendidikan. Bantuan RM180 atau RM300 untuk keluarga kumpulan B40 yang mempunyai anak berusia bawah 18 tahun boleh digunakan sebagai deposit mendapatkan telefon pintar atau sebagai subsidi langganan data RM15 sebulan bagi tempoh 12 bulan yang akan disalurkan melalui akaun-akaun prabayar atau pasca bayar yang berdaftar dengan syarikat telekomunikasi bermula antara Mei hingga Julai ini.

Sebanyak 12 syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi di negara ini telah berganding bahu dalam menjayakan agenda kesalinghubungan digital dan membantu menyediakan kemudahan dalam pelbagai bentuk seperti subsidi pakej Internet ataupun bantuan alat peranti kepada penerima bantuan. Selain pemberian subsidi, sebanyak 910 buah Pusat Internet Komuniti (PIK) yang diselia oleh MCMC di seluruh negara akan turut membantu untuk meningkatkan kemahiran dan literasi digital, terutamanya dalam kalangan masyarakat luar bandar. Menerusi peralatan, kursus dan bimbingan yang disediakan di PIK, mereka dapat menikmati peluang yang lebih luas dan mempertingkatkan mobiliti sosial. Ini terbukti dengan kisah-kisah kejayaan para usahawan di seluruh negara yang meraih akses pemasaran yang luas serta pendapatan berlipat ganda menerusi perniagaan dalam talian yang diceburi, hasil daripada bimbingan oleh PIK.

Kesemua inisiatif ini adalah langkah proaktif yang dilaksana bagi memastikan kebolehcapaian digital yang lebih baik untuk rakyat, sejajar dengan inisiatif yang telah pun dimulakan sebelum ini seperti pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA). Adalah diharapkan segala inisiatif yang dilaksanakan ini akan dapat memastikan tiada sesiapa yang terpinggir daripada arus transformasi digital negara yang telah digerakkan dengan rancak.


PDF
Share this article
Follow