Pusat Media

Siri Makmal Infrastruktur Digital Negara Bukti Komitmen Kerajaan Untuk Pertingkat (Con't)

10 Jul 2020
SIRI MAKMAL INFRASTRUKTUR DIGITAL NEGARA BUKTI KOMITMEN KERAJAAN UNTUK PERTINGKAT KESALINGHUBUNGAN DIGITAL

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyambut baik pengumuman yang dibuat oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato’ Saifuddin Abdullah berhubung pelaksanaan Makmal Infrastruktur Digital Negara (Makmal) yang akan bermula dari 13 Julai sehingga 14 Ogos depan.

Makmal tersebut akan menjadi satu usaha sama pihak industri dan pihak kerajaan, yang mana MCMC akan bertindak sebagai pemudah cara, untuk menghasilkan rangka kerja yang komprehensif bagi pembangunan infrastruktur digital negara, dan seterusnya diselaraskan pelaksanaannya untuk menangani keperluan mendesak dalam era normal baharu.

Pembabitan wakil-wakil daripada Kementerian, Jabatan dan Agensi serta pihak industri yang telah dikenal pasti akan membantu dalam perancangan infrastruktur digital yang lebih menyeluruh dengan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak berkepentingan, selain mendapatkan kerjasama semua pihak berkaitan dalam usaha untuk menambah baik infrastruktur digital negara.

Hasil Makmal akan memberi ruang untuk penambahbaikan capaian dalam masa yang lebih singkat melalui usaha sama industri dan agensi kerajaan. Ini akan memberi lonjakan kepada sasaran terdahulu sebelum terjadinya pandemik global. Pemilihan pihak industri berasaskan kepada capaian pasaran adalah untuk memberi ruang agar lebih ramai rakyat yang telah melanggan perkhidmatan menikmati pembaikan yang dilaksanakan dengan cepat. Maklum balas daripada pihak industri ataupun agensi kerajaan yang tidak terlibat langsung juga dialu-alukan dan boleh dimajukan kepada MCMC.

Makmal berkenaan mencerminkan komitmen Kerajaan dalam usahanya mempertingkatkan kesalinghubungan digital negara, sekaligus mempersiapkan Malaysia dan rakyatnya untuk berhadapan dengan cabaran sosial dan ekonomi dengan asas infrastruktur digital yang kukuh, terutamanya di pasca COVID-19.

PDF
Kongsi artikel ini
Follow