Pusat Media

Sokongan Dan Kerjasama Kerajaan Negeri Kritikal Untuk Memperluaskan Akses Jalur Lebar Kepada Rakyat

10 Jan 2019
CYBERJAYA, 10 Januari 2019 --- Pelancaran Projek Perintis yang menyokong dasar kerajaan melalui Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) yang disempurnakan oleh YB Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Tuan Gobind Singh Deo di Jasin membuktikan bahawa kerjasama dan sokongan daripada Kerajaan Negeri boleh menjayakan perluasan perkhidmatan jalur lebar ke seluruh negara.

Menurut Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Encik Al-Ishsal Ishak, kerjasama Kerajaan Negeri bersama MCMC adalah faktor utama yang boleh mempercepatkan akses jalur lebar kepada rakyat di negara ini. Beliau merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, YAB Encik Adly Zahari dan YB Kerk Chee Yee selaku Exco Komunikasi dan Multimedia Negeri Melaka.

“Kerajaan Negeri Melaka telah membuktikan bahawa dengan sokongan dan kerjasama yang baik bersama usaha MCMC dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), rakyat di negeri tersebut telah mendapat manfaat yang besar. Sebelum ini, penduduk Jasin semestinya tidak menyangka mereka akan dapat menikmati Internet berkelajuan tinggi seperti yang disaksikan di Jasin. Kini terbukti, impian mereka untuk menikmati jalur lebar berkelajuan tinggi telah tercapai,” jelas beliau.

Projek perintis untuk NFCP di Jasin telah mendapat kerjasama baik daripada Majlis Perbandaran Jasin terutamanya memberi kelulusan untuk izin lalu (“right of way”) untuk pemasangan gentian fiber optik di dalam kawasannya. Projek tersebut melibatkan 1,100 buah rumah di Felda Tun Ghafar Kemendor, Taman Merbau dan Taman Maju. Pejabat Pos Besar Jasin, juga turut serta dalam projek tersebut, telah mencatat kelajuan hampir 1Gbps yang konsisten.

Al-Ishsal berkata selain daripada Pejabat Pos, pihaknya mahu mempertingkatkan perkhidmatan jalur lebar di hospital-hospital, sekolah-sekolah, perpustakaan negeri, dan balai polis di dalam proses menyediakan negara untuk memasuki era digital.

“Kita amat mengalu-alukan kerajaan-kerajaan negeri yang mahu menyaksikan sendiri projek perintis ini untuk menghubungi MCMC dan datang ke Jasin untuk melihat hasil daripada kerjasama antara pihak-pihak yang terlibat dalam projek tersebut. MCMC sedia untuk berbincang dengan semua kerajaan negeri untuk memastikan akses jalur lebar ini sampai kepada seluruh rakyat, sekaligus menjadikan kita sebuah negara digital,” Al-Ishsal berkata.

Beliau turut menjelaskan bahawa MCMC bercadang untuk menjalankan lebih banyak projek perintis seperti di Jasin di bawah inisiatif NFCP. Di Sabah dan Sarawak, misalnya, projek perintis yang membabitkan teknologi satelit akan dilaksanakan dan akan diumumkan kemudian.

Beliau berkata MCMC komited untuk merealisasikan hasrat Menteri KKMM yang mahukan agar jalur lebar menjadi hak kepada semua orang di negara ini.

TAMAT
Kongsi artikel ini
Follow