Media & Events

Teknologi 5G Undang Masalah Kesihatan Kepada Manusia? Orang Ramai Digesa Tidak Perlu Bimbang

15 Apr 2019
TEKNOLOGI 5G UNDANG MASALAH KESIHATAN KEPADA MANUSIA? ORANG RAMAI DIGESA TIDAK PERLU BIMBANG
  • Tiada keputusan penyelidikan konklusif yang buktikan teknologi 5G mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia
  • Kajian-kajian yang dijalankan mendapati, pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP)
  • EMF tergolong dalam kategori non-ionizing radiation
CYBERJAYA, 15 April 2019 --- Orang ramai di negara ini tidak perlu bimbang mengenai pandangan-pandangan sesetengah pihak yang berpendapat bahawa teknologi 5G boleh menjejaskan kesihatan mereka seperti yang disebarkan dalam media sosial.

Menurut Profesor Dr. Tharek Abd Rahman, salah seorang Anggota Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), hingga kini tiada sebarang keputusan penyelidikan konklusif yang membuktikan teknologi 5G boleh mengundang kemudaratan kepada kesihatan manusia.

Tegas beliau, kajian-kajian yang telah dijalankan setakat ini mendapati, pendedahan terhadap Medan Elektromagnet Frekuensi Radio (Radio Frequency Electromagnetic Field atau RF-EMF) adalah di bawah had yang disyorkan di dalam Garis Panduan International Commission on Non-Ionizing Radiation Protection (ICNIRP).

“Pada masa yang sama, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berpandukan kepada 25,000 artikel penyelidikan yang diterbitkan sepanjang tempoh 30 tahun lepas turut merumuskan, bukti-bukti sedia ada tidak mengesahkan wujudnya sebarang impak kesihatan akibat pendedahan kepada EMF berskala rendah.

Malah, tanggapan orang awam bahawa masalah sakit kepala, kemurungan,  kebimbangan dan keletihan disebabkan oleh pendedahan terhadap EMF berskala rendah adalah tidak tepat. Ini kerana bukti-bukti saintifik tidak menunjukkan apa-apa kaitan dengan simptom-simptom tersebut,” jelas Prof Dr. Tharek lagi.

Beliau yang juga seorang Profesor di Sekolah Kejuruteraan Elektrik dalam bidang komunikasi tanpa wayar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) turut memberitahu, EMF tergolong di bawah kategori non-ionizing radiation yakni gelombang yang kuantumnya tidak cukup untuk memecahkan atau menganggu struktur sesuatu molekul berbanding dengan ionizing radiation.

Dalam konteks ini, pendedahan terhadap non-ionizing radiation hanya menyebabkan kesan pemanasan, namun tidak cukup untuk mengakibatkan kerosakan jangka panjang kepada tisu-tisu badan.
Dalam perkembangan berkaitan, Prof Dr. Tharek juga menggesa agar kempen pendidikan atau kesedaran dapat dipertingkatkan bagi memberi penerangan yang lebih jelas kepada orang awam mengenai teknologi 5G yang pada hakikatnya akan memberi manfaat dan impak kepada masa depan dan ekonomi negara.

Yang jelas, teknologi 5G memberi banyak manfaat kepada pelbagai aspek kehidupan manusia seperti bidang kesihatan, keselamatan awam, pertanian, pendidikan dan banyak lagi.

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai EMF yang dibangunkan oleh MCMC bersama-sama Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU), sila layari rfemf.mcmc.gov.my.
Share this article
Follow