Media & Events

Pemberitahuan: Orang Ramai Diminta Berwaspada Dengan Panggilan Mencurigakan

24 Aug 2017

CYBERJAYA
24 Ogos 2017

Orang ramai adalah digesa untuk berwaspada dengan sebarang panggilan daripada pihak tidak dikenali kononnya mewakili Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) meminta orang ramai untuk menghadiri ke satu program keusahawanan mahupun meminta data peribadi individu.

Sambil menyifatkan perbuatan-perbuatan tersebut sebagai satu penipuan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, MCMC ingin menegaskan, pihaknya tidak pernah meminta mana-mana individu untuk menghubungi orang ramai bagi pihaknya untuk memaklumkan penganjuran program sedemikian mahupun meminta data peribadi daripada orang awam.

Kelazimannya, mana-mana individu yang memanggil bagi pihak MCMC akan memperkenalkan diri mereka terlebih dahulu dan tujuan panggilan itu dibuat. Pada masa yang sama juga, sebarang acara yang dianjurkan oleh MCMC akan diumumkan dalam laman sesawang rasmi dan platform media sosial suruhanjaya berkenaan.

Pihak MCMC memandang serius perkara ini dan akan bekerjasama dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi-agensi lain yang berkaitan bagi menangani masalah ini.

Kepada mereka yang menerima panggilan sedemikian daripada pihak yang tidak dikenali mendakwa mereka mewakili MCMC, segera laporkan perkara tersebut kepada pihak MCMC menerusi e-mel mereka di [email protected]; aduan hotline di 1800-188-030; WhatsApp di talian 016-2206 262 ataupun SMS SKMM Aduan ke 15888 untuk tindakan selanjutnya.

[TAMAT]

Share this article
Follow