Media & Events

Bicara Seni Bersama YBhg Datuk A. Samad Said di Balai Seni Lukis Negara

27 Apr 2010

Sempena Pameran Kata Luhur yang kini berlangsung di BSLN dari 9 April hingga 10 Mei 2010, Balai Seni Lukis Negara akan mengadakan Bicara Seni bersama YBhg Datuk A. Samad Said.

Sesi Bicara Seni akan diadakan seperti ketentuan berikut:

Tarikh:          28 April 2010 (Rabu)
Masa:           3.00 petang
Tempat:        Galeri 2B, Balai Seni Lukis Negara.

Sedikit latar belakang YBhg Datuk A. Samad Said

YBhg Datuk A. Samad Said dilahirkan pada 9 April 1935 di Kampung Durian Yunggal, Melaka. Beliau menerimapendidikan di Sekolah Melayu Kota Raja,Singapura pada tahun 1940 hingga 1946, manakala di Victoria Institution pada tahun 1956 sehingga memperolehi Sijil Senior Cambridge. Beliau merupakan di antara penggiat seni yang bukan sahaja berkarya dalam bidang Kesusasteraan Melayu malah beliau juga berbakat di dalam Seni Visual yang umum tidak mengetahui ketokohannya. Beliau telah dinobatkan Anugerah Sastera Negara pada tahun 1985.

Maklumat tentang Kata Luhur.

KATA LUHUR merupakan pameran solo kedua A.Samad Said yang memaparkan kira-kira 100 buah lukisan daripada 11 siri karya terbaru beliau. Himpunan lukisan ini adalah cerminan pengalaman A.Samad Said yang sering bergelut dengan jerih getir memperjuangkan dunia kesusasteraan yang sudah begitu sebati dengan dirinya.

Berbanding dengan siri lakaran di dalam pameran solo pertama (Daerah Samad, 2007) yang kelihatan lebih halus, gestural dan meditatif, karya-karya terbaru ini menonjolkan sapuan yang lebih perkasa, ganas dan penuh yakin seiring dengan nuansa yang menyelubungi detik-detik pengkaryaan lukisan-lukisan tersebut.

KATA LUHUR adalah rakaman visual serta catatan batin bangsa sebuah era yang sarat dengan kisah resah gelisah serta gelora seorang sasterawan dalam menongkah sebuah kehidupan, berbaur dengan pelbagai episod yang mengitari daerah bahasa dan bangsanya.

Nur Hanim Khairuddin, Kurator Jemputan

Nota: Sempena hari lahir ke 75 Pak Samad, majlis akan turut diserikan dengan persembahan lagu, video seni dan bacaan puisi oleh:Rahmat Haron, Meor Yusuf Aziddin, Rahimidin Zahari, Siti Zainon Ismail, Space Gambus Experiment, Dewangga Sakti & Taheera Rosheena."

Share this article
Follow