Media & Events

1,000 Usahawan Mikro Disasar Sertai Pupuk Menjelang Disember

08 Jul 2021, Bernama
PUTRAJAYA, 8 Jul - Seramai 1,000 usahawan mikro disasar menyertai Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) menjelang Disember ini, yang berkemampuan meningkatkan pendapatan usahawan sehingga 30 peratus, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata sasaran itu dapat dicapai menerusi pelbagai program antaranya PUPUK@Shopee yang dilaksanakan di 40 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara yang menyertai projek rintis PUPUK ketika ini.

Program PUPUK@Shopee ketika ini disertai 549 usahawan mikro yang mengikuti program latihan serta bimbingan di PIK bagi membolehkan mereka beralih daripada perniagaan tradisional ke platform e-dagang, katanya kepada media selepas menghadiri sesi libat urus secara maya bersama pengurusan PIK hari ini.

PUPUK dilancarkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini merupakan inisiatif pendigitalan di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) dengan melibatkan memperuntukkan RM200 juta untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta RM100 juta untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Bagi menjayakan sasaran itu, Saifuddin berkata 600 Rakan PUPUK akan dilantik untuk ditugaskan di PIK bagi membantu menyediakan program latihan keusahawanan serta bimbingan untuk golongan usahawan mikro khususnya di luar bandar.

Beliau berkata pelantikan akan bermula tahun ini sehingga 2025 dengan sasaran awal untuk menempatkan Rakan PUPUK di 40 PIK yang terlibat dalam program rintis PUPUK.

“Ia bakal mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai sekali gus memperkasakan PIK sebagai hab untuk melipat ganda usaha membimbing usahawan mikro di seluruh negara sekali gus menjadikan PIK sebagai balai raya moden PUPUK,” katanya.

Selaras dengan sasaran PUPUK untuk memanfaatkan 800,000 usahawan mikro menjelang 2025, Saifuddin berharap Rakan PUPUK diperluaskan di 873 PIK di seluruh negara bagi menjayakan pelbagai program dengan bimbingan beberapa agensi antaranya Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia, SME Corp dan Malaysia Network Information Centre (MYNIC).

Mengenai program PUPUK@AEON yang akan dilancarkan tidak lama lagi, beliau berkata pihaknya menyasarkan penyertaan 100 usahawan mikro untuk menjual produk mereka sama ada secara fizikal di pasar raya AEON atau dalam talian.
Share this article
Follow