Media & Events

244 menara telekomunikasi di Pahang dijangka siap hujung tahun ini

31 Mar 2022, Bernama
Kuantan, 31 Mac -- Sebanyak 244 menara telekomunikasi di Pahang sedang dalam pelaksanaan dengan jangkaan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun ini menerusi Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) fasa satu. 

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin mohd Ariff berkata daripada jumlah itu, daerah Lipis adalah paling banyak menerima manfaat menara baharu iaitu 53 buah, diikuti Kuantan dan Rompin masing-masing 32, Jerantut (28), Raub (25), Cameron Highlands (23) dan Pekan (22).

Di bawah JENDELA, sebanyak 270 menara baharu disasarkan dibina di Pahang dan setakat 28 Feb lepas, sebanyak 26 menara telah siap dan beroperasi. 

"Statistik komunikasi bagi Pahang mencatatkan peningkatan apabila semakin banyak projek di bawah JENDELA siap dilaksanakan. Kadar liputan jalur lebar mudah alih 4G  sebelum JENDELA ialah 89.10 peratus dan berjaya ditingkatkan kepada 92.56 peratus pada hujung tahun lepas. 

"Kadar liputan ini terus dipertingkatkan untuk emncapat sasaran 96.9 peratus yang ditetapkan di bawah fasa satu JENDELA,"katanya semasa menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Wisma Sri Pahang di sini hari ini. 

Bagi projek penaiktarafan stesen pemancar, Mohamad Fakhrudin berkata sebanyak 867 stesen pemancar sedia ada selesai dinaik taraf setakat 28 Feb lepas manakala 75,653 premis telah dinaik taraf rangkaian jalur lebar tetap dengan 42,607 premis lagi dijangka selesai hujung tahun ini. 

Menurut beliau sebanyak 69 kampung Orang Asli di seluruh Pahang kini menikmati perkhidmatan internet kolektif secara percuma untuk tempoh dua tahun menerusi pelaksanaan Projek Jalur Lebar Tanpa Wayar Satelit. 

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Datuk Seri Shahaniza Shamsudin memaklumkan penubuhan Majlis Penasihat Orang Kurang Upaya (OKU) telah diluluskan dan menjadi mekanisme penting dalam pelaksanaan pelbagai program dan dasar berkaitan OKU. 

Üntuk tahun ini, peruntukan RM745,000 telah diluluskan kepada golongan ini, antara lain bagi pembelian peralatan pemulihan kepada 52 Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK),"katanya.

Mengenai pelaksanaan program 'Satu Pokok, Satu Bayi di Pahang', Shahaniza berkata kawasan seluas 69.47 hektar di semua 14 parlimen di Pahang dikenal pasti bagi pelaksanaan program satu pokok, satu bayi yang dijangka melibatkan 25,000 pokok setahun dengan nilai RM10 sepohon. -- BERNAMA
Share this article
Follow