Media & Events

37 syarikat kendali SMS

07 Nov 2003, Berita Harian
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) memberi lesen kepada 37 syarikat mengendalikan Sistem Pesanan Ringkas (SMS), membabitkan enam syarikat Pembekal Perkhidmatan Aplikasi (Individu) serta 31 syarikat bertaraf kelas yang menyediakan kemudahan perkhidmatan "pesanan". Setiausaha Parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Chia Kwang Chye, berkata senarai syarikat yang dilesenkan itu boleh diperoleh menerusi laman web SKMM, iaitu www.cmc.gov.my. "Pendekatan ini adalah kaedah yang lebih berkesan dan dapat memberikan kepelbagaian serta perkhidmatan kepada pengguna, selain inovasi yang diperkenalkan oleh syarikat pengendali SMS akan menyumbang kepada pembangunan industri ini," katanya ketika menjawab soalan Datuk Mohd Zain Omar (BN-Balik Pulau), semalam. Katanya, SKMM sentiasa memantau kadar caj bagi memastikan tiada penyalahgunaan bayaran dikenakan kepada pengguna kerana syarikat pembekal perkhidmatan dikehendaki menghantar laporan berjadual yang diaudit. Beliau berkata, pihak SKMM juga memastikan laporan itu mematuhi Standard Mandatori untuk kualiti perkhidmatan yang ditetapkan selain memantau kadar caj menerusi maklumat yang ada di media cetak dan elektronik. Chia berkata, suruhanjaya itu turut melakukan audit kepada sampel bil yang diperoleh secara rambang, ujian sampel dan melalui aduan yang diterima daripada semua pihak. "SKMM juga menjalankan kajian kos dan menggunakannya untuk membantu tahap bayaran atau kadar caj yang munasabah dikenakan kepada pengguna," katanya. Beliau berkata, kos perkhidmatan SMS tidak ditetapkan kementerian atau SKMM tetapi ditetapkan oleh syarikat pengendalian SMS mengikut keadaan pasaran.
Share this article
Follow