Media & Events

50 Menara Komunikasi Akan Beroperasi Sepenuhnya Di Sabah

27 Aug 2020, Borneo Today

KUALA LUMPUR: Sebanyak 50 menara komunikasi di Sabah akan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat bermula suku pertama tahun hadapan.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, inisiatif meningkatkan kualiti perkhidmatan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa diteruskan supaya rakyat Sabah dapat menikmati akses perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang lebih menyeluruh.

“Inisiatif penyediaan perkhidmatan liputan jalur lebar mudah alih yang dirancang sebelum ini dibawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) telah bermula sejak 15 Februari lalu yang melibatkan sebanyak 50 tapak di Sabah iaitu pembinaan 24 tapak struktur menara komunikasi dianugerahkan kepada Edotco Malaysia Sdn Bhd manakala FGV Prodata System Sdn Bhd sebanyak 26 tapak.

“Selepas menara itu siap dibina, U Mobile Sdn Bhd pula akan bertanggungjawab untuk pemasangan alat pemancar komunikasi dan pemberian perkhidmatan mudah alih di 50 tapak itu.

“Dibawah inisiatif ini, pengguna akan menikmati perkhidmatan 3G dan 4G, semua menara baharu ini dijangka siap dan beroperasi sepenuhnya secara berperingkat bermula suku pertama 2021,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang parlimen semalam bagi menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Tenom, Noorita Sual berhubung sejauh mana usaha kementerian itu dalam memastikan kawasan pedalaman di Sabah dilengkapi liputan internet yang baik dan status terkini 50 kawasan fasa pertama dalam program NFCP.

Saifuddin dalam pada itu turut berkata, SKMM pada masa sama membuat perancangan dengan pihak industri untuk menetapkan kualiti dan liputan perkhidmatan di seluruh negara menggunakan pelbagai teknologi.

Share this article
Follow