Media & Events

5G: Malaysia semakin hampir kepada realiti

17 Jan 2020, bernama
KUALA LUMPUR, 17 Jan -- Pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia kini semakin hampir menjadi realiti dengan pelbagai pihak memberi tumpuan kepada pelancaran Projek Demonstrasi 5G (5GDP) di Langkawi, Kedah oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada Ahad ini. Pada keesokannya, Pasukan Petugas Khas 5G Kebangsaan akan menghantar laporan akhir kepada Menteri Komunikasi dan Mutimedia Gobind Singh Deo semasa Persidangan Antarabangsa 5G Malaysia yang akan turut diadakan di Langkawi bersempena pelancaran tersebut.

Menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan dan sokongan daripada penggiat telekomunikasi, Malaysia bersedia menerajui pelaksanaan 5G di ASEAN, sekali gus memberikan negara kelebihan untuk melaksanakan Internet of Things (IoT) dan Kecerdasan Buatan (AI).

Menurut Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia, di peringkat domestik, pelaksanaan teknologi 5G yang amat ditunggu-tunggu itu dijangka menyumbang sehingga lebih RM12.7 bilion kepada ekonomi negara antara 2021 dan 2025 dan menjana lebih 39,000 pekerjaan baharu.

Perjalanan teknologi 5G dimulakan dengan penubuhan Pasukan Khas 5G Nasional pada November 2018, yang terdiri daripada 114 ahli melibatkan penyedia perkhidmatan, akademia, kementerian dan agensi.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), petugas khas itu diberikan tugas merancang strategi pelaksanaan 5G untuk negara.

SKMM telah mengenal pasti bahawa pelaksanaan 5G nasional akan dibangunkan pada jalur (spektrum frekuensi) 700MHz, 3.5GHz dan 26/28GHz, dengan penawaran awal menggunakan dua jalur pertama, yang akan diurus oleh konsortium pelbagai pemegang lesen.

Kriteria bagi konsortium itu akan ditetapkan sebelum berakhirnya suku pertama tahun ini.

Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata 5G Malaysia akan dilancarkan tidak lama lagi dengan pengkomersialan 5G dijangka bermula seawal suku ketiga tahun ini.

Ketika ini, suruhanjaya itu bersama-sama pihak berkepentingan lain dan syarikat-syarikat sedang menjalankan projek demonstrasi 5G di Kedah, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Terengganu dan Kuala Lumpur, membabitkan pelaburan awal sebanyak RM143 juta.

Pihak yang terlibat adalah Telekom Malaysia Bhd (TM), Celcom Axiata Bhd (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Broadband Sdn Bhd (Maxis), Edotco Malaysia Sdn Bhd (Edotco), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Petroliam Nasional Bhd dan YTL Communications Sdn Bhd.

Baru-baru ini TM melaporkan ia telah berjaya menjalankan ujian Rangkaian 5G khusus Standalone (SA) di kedua-dua spektrum C-band dan 700 MHz secara serentak di rangkaian teras 5G berpusat.

Syarikat itu juga telah memulakan 11 kes penggunaan di Langkawi- jumlah tertinggi dalam kalangan syarikat telekomunikasi yang menyertainya.

Ia turut mewujudkan Pusat Kawalan Operasi Bersepadu, juga dikenali sebagai Pusat Kawalan 5G (5GCC).

Kesemua rangkaian 5G dan kes penggunaan dipantau menerusi papan pemuka 5GCC selama 24 jam pada setiap hari oleh pakar-pakar serta pasukan teknikal berkelayakan daripada TM.

TM juga bekerjasama dengan Digi untuk mengukur kebolehupayaan, kemungkinan dan pengehadan rangkaian 5G di antara pelbagai pengendali operator perkhidmatan rangkaian pelbagai semasa tempoh pelaksanaan 5GDP.

Di bawah kerjasama ini, Digi yang mengendalikan tapak 5GDP sendiri (termasuk tapak rangkaian radio 5G serta rangkaian teras 5G) di Langkawi untuk mengendalikan kes penggunaan 5G akan disokong oleh TM melalui kemudahan gentian kepada tapak-tapak berkenaan.

U Mobile juga bekerjasama dengan TM untuk meneroka peluang perkongsian rangkaian menggunakan rangkaian 5GDP Langkawi sebagai platform.

Kedua-dua pihak juga akan meneroka beberapa infrastruktur model perkongsian infrastruktur rangkaian seperti Multi-Operator Core Node (MOCN) atau Rangkaian Akses Radio Operator Pelbagai (MORAN).

Sementara itu Celcom dan Maxis juga berjaya mengendalikan percubaan MOCN pertama di Asia Tenggara dengan mencapai kelajuan puncak melebihi 1.1Gbps dalam persekitaran luar di tapak percubaan di Langkawi.

Kedua-dua syarikat telekomunikasi itu bercadang mengendalikan percubaan perkongsian Rangkaian Aktif Radio 5G aktif yang pertama di Malaysia menggunakan rangkaian 5G Standalone menjelang suku pertama 2020.

Digi juga bekerjasama dengan Malaysia Airports Holdings Bhd dan Panorama Langkawi untuk memulakan pengalaman pelancongan maya masa nyata pertama Malaysia, yang dikuasakan oleh 5G, di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi.

Dalam pada itu, edotco Malaysia dan Peatalk Corporation (Peatalk) menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bersama-sama meneroka penggunaan teknologi 5G dalam menyokong agenda digital Malaysia.

MoU itu ditandatangani susulan ujian rangkaian yang berjaya dilaksanakan di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bagi meningkatkan kelajuan jalur lebar mudah alih sehingga 10Gbps kepada setiap pengguna melalui rangkaian dan infrastruktur swasta 5G.

Projek itu menyokong projek demonstrasi 5G SKMM dan inisiatif Airport 4.0 untuk meningkatkan pengalaman menyeluruh di lapangan terbang kepada penumpang dan vendor, sekali gus membuka jalan untuk menjadi lapangan terbang 5G pertama di Malaysia.
Share this article
Follow