Media & Events

Bukan mustahil warga emas kuasai teknologi digital

17 May 2022, Berita Harian
Mula-mula ada yang kekok, bimbang dan ada juga langsung tidak berani memegang tetikus (mouse) komputer kerana bimbang silap atau perkara tidak diingini akan berlaku. Perasaan gementar dan mengambil masa menyesuaikan diri adalah antara perkara biasa yang dilalui golongan berusia atau warga emas apabila baru belajar dan mendekatkan diri dengan dunia teknologi digital. Bagaimanapun, kesungguhan dan ketekunan warga emas menimba pengetahuan serta tunjuk ajar ‘sifu’ lazimnya menjadi pendorong utama untuk membolehkan golongan ini memahirkan diri seterusnya menguasai bidang teknologi maklumat (IT) dan media sosial.

Pengurus Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Tingkat, Azlin Suhaida Rodzi, berkata hakikatnya bukan mustahil untuk warga emas belajar dan memahirkan diri menggunakan teknologi digital walaupun mungkin ada di antaranya langsung tiada pengetahuan asas mengenainya. Katanya, pengalaman tiga tahun berkhidmat di PEDi, Bukit Tingkat mendapati, terdapat segelintir warga emas berusaha sedaya upaya, menunjukkan minat yang tinggi dan tidak pernah kenal erti mengalah untuk mempelajari ilmu baharu itu. “Saya pernah membimbing usahawan yang sudah agak berusia dan tiada asas komputer memasarkan produknya di e-dagang. Dia bukan sahaja belajar bersungguh-sungguh tetapi tekun untuk memahami apa yang diajar kepadanya. Dalam masa sebulan sahaja dia sudah dapat menguasai kemahiran asas.

“Sekarang saya sedang membantu mempertingkatkan kemahirannya membuat jualan secara langsung (live) di e-dagang dan membuat tawaran diskaun untuk pengguna. Dia memang cepat belajar dan menunjukkan minat,” katanya. Azlin berkata, ketika ini terdapat 28 usahawan dari kampung Bukit Tingkat, Paya Jejawi dan Paya Banir belajar di PEDi Bukit Tingkat. Menurutnya, secara am memang terdapat perbezaan antara golongan muda dan sudah berusia menerima pembelajaran, namun itu bukan kayu pengukur utama untuk memahirkan diri menggunakan teknologi digital. “Tentu sahaja golongan muda lebih cepat belajar. Apabila mengajar warga tua pula saya perlu bagi lebih tumpuan dan fokus sebab mereka mengambil lebih masa untuk memahaminya kerana ia perkara baharu bagi kebanyakan mereka.

“Jika fokus dan pendedahan berterusan diberikan, Insya-Allah jadi lebih senang dan lancar untuk mereka belajar,” katanya. Azlin berpendapat, celik teknologi maklumat satu perkara baik untuk warga emas, selain seiring dengan perubahan gaya hidup hari ini, ia dapat memberikan pendedahan berhubung dunia luar menerusi capaian internet. Sementara itu, Pengurus PEDi Kampung Sungai Labu, Nur Syafiqa Ismail, 25, berkata membimbing golongan usahawan kategori golongan warga emas di PEDi dilihatnya sebagai medan untuk bertukar ilmu bersama usahawan. “Membimbing usahawan PEDi dalam bidang teknologi secara tidak langsung membantu diri saya sendiri untuk meningkatkan pengetahuan dalam pelbagai bidang kerana saya bertemu dengan usahawan dari beberapa latar belakang yang berbeza. “Bagi saya, sesi pembelajaran itu sebenarnya adalah apabila kita sama-sama saling belajar. Saya mengajar pelbagai ilmu kepada mereka dan pada masa sama, saya juga menerima pelbagai ilmu daripada usahawan berkenaan berdasarkan pengalaman mereka dalam dunia perniagaan.

“Saya juga sentiasa memastikan sesi pembelajaran lebih santai dan menarik kepada usahawan PEDi,” katanya yang hampir setahun bertugas di situ. Nur Syafiqa sependapat dengan Azlin dan turut mengakui, ada perbezaan dalam membimbing usahawan golongan belia dan warga emas. Bagaimanapun, beliau tidak melihat perbezaan itu sebagai satu masalah sebaliknya menjadikannya sebagai satu cabaran untuk berfikir dan membimbing secara lebih kreatif dalam usaha mendorong usahawan PEDi dari kedua-dua golongan itu maju dalam perniagaan mereka.

“Usahawan muda lebih mudah untuk memahami dan menerima cara perniagaan terkini terutamanya dari segi pengurusan perniagaan di media sosial, perbankan dalam talian dan apa-apa penggunaan digital dalam pemasaran serta pengurusan perniagaan.

“Ini kerana golongan ini sudah biasa mengenai hal ini, berbanding usahawan warga emas peluang itu tidak dapat dikecapi pada awal usia mereka. Namun, itu bukanlah penghalang untuk usahawan warga emas memasarkan produk mereka secara digital dan maju ke hadapan,” katanya. Pengurus PEDi Kampung Kabidang di Beaufort, Nor Ateylia Napali, 32, pula berkata beliau berusaha sedaya upaya untuk mendekati golongan usahawan, terutamanya yang tinggal di luar bandar agar lebih maju ke hadapan dalam menguruskan serta mempromosikan perniagaan mereka.

Nor Ateylia berkata, pengalaman bertugas di PEDi Kampung Kabidang sejak 2018 menyedarkannya terdapat ramai usahawan, khususnya golongan warga emas menghasilkan produk yang berpotensi untuk dipasarkan sehingga ke peringkat antarabangsa. “Sebenarnya, amat banyak produk yang saya lihat berpotensi dan berkualiti untuk dipasarkan ke luar malah sehingga peringkat antarabangsa. Ini kerana di Sabah, kita mempunyai banyak produk terutamanya makanan yang unik. “Walau bagaimanapun, rata-rata usahawan ini lebih cenderung untuk menjual dan memasarkan produk mereka dengan cara lama.“Disebabkan itu, saya tidak melepaskan peluang dan cuba mendekati seramai mungkin usahawan untuk dibimbing di PEDi di samping membantu mereka memasarkan produk, khususnya secara dalam talian. “Majoriti usahawan ini berasa takut dan risau akan melakukan kesilapan apabila saya membe ritahu pihak PEDi boleh membimbing mereka cara menggunakan teknologi (komputer dan telefon pintar) untuk menjual produk mereka,” katanya.

Menurut Nor Ateylia, beliau mengambil inisiatif untuk memujuk secara baik di samping turut membantu mereka menjual produk dengan meletakkan hasil produk usahawan terbabit di PEDi. Katanya, selain membimbing usahawan PEDi menggunakan aplikasi e-dagang atau laman media sosial untuk mempromosikan produk, mereka turut dibimbing membuat kertas kerja perniagaan dan sebagainya. Nor Ateylia turut menyatakan harapan, supaya PEDi dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk membantu usahawan luar bandar menonjolkan keistimewaan produk masing-masing.
Share this article
Follow