Media & Events

Celik teknologi beri peluang tingkatkan pendapatan

17 May 2022, Berita Harian
Temerloh: “Pada mulanya terasa susah juga belajar komputer ini, apatah lagi nak buat jualan kerana tak faham dan langsung tidak pernah guna selain melihat anak menggunakan peranti itu di rumah.” Itu antara pengalaman awal dilalui usahawan, Rosmah Hayati Mat Yassin, 56, ketika mula ‘mendekati’ dirinya dengan dunia digital dan belajar memahirkan diri serta mengguna teknologi itu dalam kehidupan seharian. Bagaimanapun, Rosmah yang mengusahakan kerepek pisang, sira ubi kayu, bahulu bakar menggunakan sabut dan sambal hitam, bukanlah seorang yang cepat berputus asa, seperti kata pepatah, hendak seribu daya, tak nak seribu dalih. Begitulah dengan Rosmah, akhirnya beliau dapat menguasai penggunaan komputer selepas mendapat tunjuk ajar dan kesungguhan diri sendiri untuk menimba ilmu baharu.

“Berkat tunjuk ajar penyelia di Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) Bukit Tingkat, dalam masa kira-kira sebulan, akhirnya makcik dah boleh menggunakan aplikasi Shopee dengan sendiri,” katanya bangga dengan pencapaian diri sendiri. Menurut Rosmah, beliau mula menceburi perniagaan dengan menjual produk kerepek pisang nangka sejak 20 tahun lalu secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga. Beliau memilih mengusahakan perniagaan itu, berikutan mudah mendapat bekalan pisang daripada penduduk sekitar kampung.

Katanya, sebagai suri rumah sepenuh masa dan ingin mencari duit sampingan, beliau kemudiannya mula menambah bilangan produk lain untuk jualan. Semangat untuk berniaga memuncak, ditambah kerepek pisangnya semakin mendapat sambutan.Justeru, Rosmah mengambil keputusan menjual bahulu bakar sabut, ubi kayu pedas dan sambal hitam sejak enam tahun lalu. Beliau dibantu oleh suaminya, Jumli Singgah, 63, yang bekerja kampung, manakala empat anak mereka sudah bekerja dan cuma seorang masih bersekolah dan tinggal bersama. “Kebanyakan produk saya letakkan di kedai runcit, pasar besar, Pekan Sehari Temerloh dan melalui agen yang berminat untuk berniaga. Alhamdulillah, saya berjaya memperolehi pendapatan antara RM 2000 hingga RM2500 sebulan.

“Sebelum ini anak pernah mencadangkan saya menjual melalui ‘online’ kerana tidak memenatkan untuk menghantar barang jualan setiap minggu. Ketika itu saya memberikan alasan susah kerana tidak pandai menggunakan komputer.,” katanya yang tinggal di Kampung Paya Jejawi. Katanya, apabila PEDi dibuka di Pusat Internet Komuniti Bukit Tingkat, tahun lalu, beliau tidak melepaskan peluang untuk mendaftar dan belajar untuk menjual secara dalam talian walaupun tiada asas komputer dan sudah berusia. Katanya, setelah menjual secara dalam talian kini pasarannya semakin meluas terutamanya produk ubi kayu pedas dan sambal hitam. Lebih menggembirakan, beliau berjaya memperolehi pendapatan RM4000 hingga RM5000 sebulan malah ia meningkat dua kali ganda menjelang Aidilfitri, baru baru ini.
Share this article
Follow