Media & Events

COVID-19: Tiada kod QR tak boleh rentas negeri

06 May 2020, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Seramai 1.47 juta pengguna memuat turun aplikasi Gerak Malaysia dengan 503,276 daripadanya membuat permohonan pergerakan rentas negeri sejak 25 April lalu sehingga 12.30 tengah hari tadi.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Datuk Huzir Mohamed, berkata pihaknya turut menerima 13,069 permohonan yang dibuat secara manual di balai polis sehingga semalam.

"Bagaimanapun, jumlah pengguna yang sudah membuat pengesahan untuk pergerakan merentas negeri hanya 148, 516 orang sahaja atau 29.5 peratus daripada keseluruhan permohonan.

"Baki sebanyak 354,760 lagi didapati tidak membuat pengesahan dengan tidak mengemas kini alamat asal dan alamat destinasi masing-masing," katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Al-Ishsal Ishak.

Huzir berkata, pemohon diminta untuk mengemas kini aplikasi Gerak Malaysia 2.5 yang boleh dicapai mulai hari ini bagi pengguna telefon sistem Android, dan tengah malam ini untuk pengguna iOS (iPhone) untuk mendapat kelulusan menerusi penjanaan Kod Respon Pantas (QR).

Huzir berkata, terdapat dua kemungkinan versi terbaharu berkapasiti 12MB itu tidak dapat dimuat turun iaitu kemungkinan disebabkan versi telefon pintar serta kelajuan talian rangkaian telefon bimbit.

Bagaimanapun mereka yang berdepan masalah ini mempunyai pilihan iaitu sama ada memohon secara manual di balai polis berhampiran atau menunjukkan profil permohonan yang dibuat pada aplikasi versi 2.0 sebelum ini.

"Saya akan mengarahkan petugas sekatan jalan raya (SJR) untuk membenarkan mereka yang berdepan situasi ini memadai sekadar menunjukkan profil pada aplikasi terbabit," katanya.

Selain itu, perkhidmatan bas ekspres dan motosikal tidak dibenarkan digunakan sebagai kenderaan untuk perjalanan rentas negeri yang bermula esok hingga 10 Mei ini.

"Larangan itu sudah dimuktamadkan pihaknya sebelum ini. Kenderaan awam seperti bas dan motosikal tidak dibenarkan untuk perjalanan rentas negeri. Bagi motosikal, adalah sukar untuk dikawal kerana tiada penjarakan sosial," katanya.

Bagi perjalanan menerusi penerbangan pula katanya, dibenarkan untuk perjalanan di Semenanjung.

Namun untuk perjalanan ke Sabah dan Sarawak, orang ramai perlu membuat permohonan secara dalam talian melalui platform disediakan kerajaan negeri sebelum membeli tiket penerbangan.

Share this article
Follow