Media & Events

Kempen #TakNakScam tingkat kesedaran penipuan jenayah siber

16 Jul 2021, Harian Metro

Kuala Lumpur: Kempen #TakNakScam yang dilancarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mampu membantu rakyat Malaysia daripada terjebak dengan jenayah siber yang semakin meningkat.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), peningkatan tinggi dalam aktiviti dalam talian dan pasaran e-dagang menyaksikan kenaikan 32.7 peratus pada 2020.

Kata beliau, justeru, kempen #TakNakScam penting, memandangkan ramai pengguna di Malaysia dalam tempoh pandemik ini, sudah bergerak secara drastik kepada dalam talian khususnya e-dagang.

"Ramai rakyat Malaysia menjadi mangsa perdaya dan penipuan sejak PKP bermula. Penipuan kewangan antara kes paling banyak direkodkan memandangkan 'scammer' mengambil kesempatan terhadap kebergantungan kepada teknologi yang semakin meningkat.

"Peningkatan ini membuka peluang untuk ramai pihak beroperasi secara dalam talian sama ada mewujudkan peluang pekerjaan atau pelaburan. Sejak tahun lalu juga, kadar penembusan Internet Malaysia adalah yang tertinggi di Asia Tenggara," katanya.

Beliau berkata demikian pada ucapan perasmian kempen #TakNakScam secara maya di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pejabat Bank Negara Malaysia (BNM) Pulau Pinang Hasjun Hashim, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Senior Asisten Komisioner Victor Sanjos, Pemangku Pengarah Facebook Malaysia Justin Murugaya dan Timbalan Setiausaha Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) Nur Asyikin Aminuddin.

Bagaimanapun, menurut beliau, situasi ini turut menyumbang kepada kehadiran pihak tidak bertanggungjawab untuk melakukan penipuan dan jenayah siber menerusi e-dagang serta platform digital.

"Tahun lalu sahaja, 11,511 (33.2 peratus) aduan mengenai transaksi dalam talian direkodkan kementerian.

"Jumlah aduan itu meningkat berbanding 2019 yang hanya merekodkan 5,416 kes. Bulan lalu (Jun 2021) sahaja, aduan tertinggi dicatat KPDNHEP iaitu 42.2 peratus daripada keseluruhan aduan," katanya.

Untuk rekod, 67,552 kes penipuan siber dilaporkan antara 2017 sehingga 20 Jun lalu dengan jumlah kerugian RM2.23 bilion.

Daripada jumlah itu, kes penipuan pembelian dalam talian atau e-dagang merekodkan kes tertinggi iaitu 23,011 kes.

Ia diikuti pinjaman tidak wujud dengan 21,008 kes dan penipuan pelaburan sebanyak 6,273 kes.

Kempen #TakNakScam dijalankan secara berterusan dengan usaha sama Jabatan CCID Polis Diraja Malaysia (PDRM), KPDNHEP, Sekuriti Suruhanjaya Malaysia (SC), Bursa Malaysia Berhad, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Persatuan Bank-Bank di Malaysia (ABM), CyberSecurity Malaysia (CSM), Fomca dan Persatuan Pendidikan dan Penyelidikan untuk Pengguna-pengguna Malaysia (ERA Consumer Malaysia).

Kempen #TakNakScam menyeru orang ramai untuk mengingati tiga langkah mudah: Kenal pasti, Semak, Lapor agar kekal waspada dalam mengenal pasti, mengesahkan dan melaporkan penipu kewangan.

Share this article
Follow