Media & Events

JENDELA tingkat akses, ketersambungan digital

09 Dec 2021, Berita Harian
KUALA LUMPUR - Akses kepada internet bukan satu keistimewaan ataupun kemewahan, sebaliknya satu keperluan dan kelengkapan untuk kehidupan. Dalam usaha merapatkan jurang digital, Pelan Jalinan Digital Negara atau lebih dikenali sebagai JENDELA diperkenalkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk meningkatkan ketersambungan digital dan mencapai sepenuhnya liputan 4G di kawasan berpenduduk, serta membolehkan 100 peratus isi rumah melanggan internet. Usaha transformasi ini akan memacu pembangunan ekonomi digital Malaysia ke arah aspirasi nasional menuju tahun 2025 di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang mana usaha akan ditumpukan untuk menyediakan persekitaran yang menyokong pertumbuhan. Kerajaan memperuntukkan sejumlah RM28 bilion untuk memantapkan kesalinghubungan sedia ada di seluruh negara dengan sasaran 7.5 juta premis diliputi pada hujung tahun 2022 kepada 9 juta premis, rangkaian gentian optik talian tetap ini akan meliputi 100 peratus kawasan berpenduduk secara berperingkat dengan kelajuan 100Mbps menjelang penghujung tahun 2025. Pelaksanaan JENDELA bukan sahaja tertumpu di kawasan bandar, malah turut mengambil kira penyediaan infrastruktur digital di kawasan luar bandar dan pedalaman. Setakat 30 September 2021, pencapaian yang direkodkan adalah seperti berikut:
  • 94.03 peratus kawasan berpenduduk mempunyai akses 4G  Perkhidmatan jalur lebar mudah alih pada kelajuan 31.34 megabit sesaat
  • 6.427 juta premis kini mempunyai akses perkhidmatan jalur lebar tetap
  • 702 stesen pemancar daripada 5,394 stesen pemancar sudah siap dinaiktaraf kepada teknologi 4G di seluruh negara
  • 362 menara baharu akan dibina menjelang penghujung 2022 yang akan meningkatkan kadar liputan 4G di kawasan berpenduduk di seluruh negara.
Selain itu, di kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta perkampungan Orang Asli, penyediaan perkhidmatan jalur lebar akan dipercepatkan melalui penyediaan perkhidmatan jalur lebar secara kolektif menggunakan teknologi satelit atau VSAT. Bagi tujuan ini, 839 lokasi di seluruh negara dikenal pasti bagi memastikan ia dapat memberikan liputan jalur lebar di kawasan yang sukar diakses dengan teknologi gentian optik dan mudah alih. Inisiatif ini dalam proses pelaksanaan dan dijangka akan siap secara berperingkat bermula November 2021 sehingga awal tahun 2022.

Penamatan rangkaian 3G
Menjelang akhir tahun ini, kemudahan 3G akan ditutup sepenuhnya secara beransur-ansur dan bertukar kepada perkhidmatan 4G. Matlamat utama inisiatif ini untuk menggunakan semula spektrum untuk 4G serta menyokong pelaksanaan rangkaian 5G. Perkhidmatan 4G akan membolehkan pelanggan menikmati kualiti dan pengalaman perkhidmatan yang lebih baik ketika melayari internet, penstriman video dan perkhidmatan dalam talian lain. Bagi memastikan tiada rakyat yang ketinggalan, pelbagai inisiatif usaha sama kerajaan dan penyedia perkhidmatan diperkenalkan untuk membantu rakyat, terutama ahli keluarga golongan B40, memperoleh akses internet dan peranti pintar mudah alih bertaraf 4G mampu milik. Contohnya, Pakej Remaja Keluarga Malaysia dan Pakej Peranti Keluarga Malaysia yang dilancarkan pada Oktober 2021 serta Pakej Peranti Siswa Keluarga Malaysia yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2022, baru-baru ini. Setakat 30 September 2021, hampir 1.2 juta pengguna sudah menaik taraf ke peranti 4G.

5G pacu pendigitalan negara
Teknologi 5G ini adalah satu kerana selain menjanjikan capaian internet yang lebih laju, ia juga akan mewujudkan lebih banyak perkhidmatan pintar yang membawa kesan langsung kepada kesejahteraan rakyat. Digital Nasional Berhad (DNB), sebuah anak syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, diberi mandat melaksanakan infrastruktur dan rangkaian 5G ke seluruh negara. DNB akan menyediakan perkhidmatan 5G secara borong kepada syarikat telekomunikasi pada kadar yang telus dan berdaya saing. Ini akan dipantau oleh MCMC agar harga yang ditetapkan adalah adil dan berteraskan pemulihan kos. Perkhidmatan 5G ditawarkan menerusi penggunaan teknologi Multi-Operator Core Network (MOCN) yang boleh dikongsi semua syarikat telekomunikasi. DNB menjalankan ujian integrasi Radio Access Network (RAN) 5G melebihi dua rangkaian di Malaysia. DNB berjaya menggabungkan lima rangkaian, dengan rangkaian keenam diintegrasi pada masa akan datang dan yang pertama di dunia. Integrasi ini membolehkan perkongsian infrastruktur rangkaian dan juga penggunaan sumber spektrum, sekali gus membawa kepada kos lebih rendah. Rangkaian 5G bermula di Bukit Tunku sebagai lokasi pertama pada Oktober lalu dan akan diteruskan di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur pada penghujung tahun ini. Pengguna di Malaysia dengan peranti serasi 5G akan dapat menikmati kelajuan sekurang-kurangnya 100Mbps di liputan terlemah 5G.

Pemerkasaan pendigitalan usahawan kecil
Selain membangunkan infrastruktur digital, kerajaan juga menyediakan sokongan dan kemudahan terutamanya untuk rakyat di luar bandar. Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) dilengkapi akses perkhidmatan jalur lebar dan kemudahan infrastruktur digital turut menawarkan kakitangan terlatih untuk memberi perkhidmatan dan sokongan agar dapat memperkasa serta melahirkan ramai usahawan kecil. Pelbagai program keusahawanan dijalankan bagi membantu usahawan kecil memajukan perniagaan melalui platform e-dagang dan seterusnya menawarkan produk sendiri melalui rantaian dagangan pasar raya terkenal. Buat masa ini terdapat 873 PEDi di seluruh negara dan 37 PEDI baharu akan dibuka pada suku pertama tahun 2022. Menjelang penghujung tahun depan, 173 PEDi lagi akan beroperasi, menjadikan jumlah PEDi di Malaysia sebanyak 1,083.

Manfaatkan JENDELA Map
JENDELA Map (https://jendela.my) dilancarkan pada Julai lalu untuk membolehkan pengguna menyemak liputan rangkaian di mana-mana kawasan, melaporkan isu rangkaian dan meminta perkhidmatan jalur lebar tetap dan tanpa wayar daripada penyedia perkhidmatan. Sehingga kini, MCMC menerima maklum balas 18,247 pengguna dan 6,566 laporan sudah berjaya diselesaikan. Selain itu, maklumat diperoleh daripada pengguna secara terus menerusi sumber khalayak atau crowdsourcing , dapat digunakan sebagai maklumat bagi membuat perancangan penambahbaikan liputan dan kualiti perkhidmatan jalur lebar dari semasa ke semasa. Penyediaan infrastruktur yang lengkap melalui JENDELA untuk mewujudkan ekosistem yang lengkap agar rakyat dapat meningkatkan lagi taraf hidup. Selaras dengan semangat Keluarga Malaysia iaitu Makmur, Inklusif dan Mampan, usaha ketersambungan digital ini akan membantu Malaysia bersaing dengan negara maju, seiring perkembangan ekonomi dunia ke arah pendigitalan.
Share this article
Follow