Media & Events

K'jaan komited terjemahkan JENDELA di akar umbi - Mustapa

26 Jun 2021, Bernama
MACHANG, 26 Jun;--Kerajaan sedang menterjemahkan perancangannya berhubung capaian Internet di seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman termasuk perkampungan Orang Asli, agar semua lapisan masyarakat dapat menikmati jaringan komunikasi yang lebih baik, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Katanya ini termasuk mentransformasikan 873 Pusat Internet Komuniti (PIK) di seluruh negara sebagai pusat pendidikan bagi menangani masalah Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PdPR).
 
Transformasi PIK ini juga termasuk menjadikan ia sebagai pusat dagang keusahawanan. Seperti di Kelantan, sebanyak 70 PIK telah dipilih bagi usaha transformasi ini dan projek bermula pada tahun ini, katanya kepada pemberita selepas meninjau projek menara komunikasi di Kampung Kubang Tebik, di sini hari ini.
 
Dalam perkembangan sama, Mustapa berkata kerajaan juga memperuntukkan lebih RM700 juta untuk meningkatkan infrastruktur melibatkan capaian Internet di Kelantan bagi tempoh 2020 hingga 2022.
 
Beliau berkata peruntukan itu melibatkan kerja menaik taraf 1,232 menara komunikasi, pembinaan 85 menara baharu serta meluaskan rangkaian gentian optik berkelajuan tinggi ke 54,904 premis.
 
Apabila semua projek ini siap dilaksanakan, status liputan 4G akan mencapai 96.3 peratus pada 2022. Hingga kini, terdapat 1,245 buah struktur menara selular di seluruh Kelantan yang meliputi 93.15 peratus untuk perkhidmatan 4G, 95.98 peratus (3G) dan 97.14 peratus (2G), katanya.
 
Mengulas lanjut, Mustapa berkata setakat ini, 18 menara komunikasi baharu telah siap dibina pada April dan Mei lepas. iaitu masing-masing satu di Jeli, Tanah Merah, dan Pasir Puteh, manakala dua masing-masing di Gua Musang dan Bachok, serta empat di Machang dan tujuh di Pasir Mas.
 
“Kesemua menara ini berada di kawasan luar bandar sesuai dengan dasar untuk merapatkan jurang digital di antara bandar dan kampung-kampung,” katanya.
 
Mengenai lawatannya, Mustapa berkata menara komunikasi di Kampung Kubang Tebik itu merupakan projek di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) di Kelantan, yang akan memberi manfaat kepada lebih 600 penduduk di kampung berkenaan.
 
“Alhamdulillah, apa yang dirancang di Kuala Lumpur dan Putrajaya, sedang diterjemahkan kepada realiti di peringkat akar umbi. Apa yang penting, kita nak pastikan setiap perancangan kerajaan akan dilaksanakan di kampung seperti Kampung Kubang Tebik serta kawasan luar bandar lain termasuk Orang Asli, “katanya.
Share this article
Follow