Media & Events

Kerajaan Pahang sedia tanah bina menara telekomunikasi

12 Feb 2022, Sinar Harian
KUANTAN - Kerajaan Pahang bersetuju untuk menyediakan tanah milik kerajaan sebagai tapak pembinaan menara telekomunikasi baharu di negeri ini.

Exco Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, keputusan itu diputuskan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Pahang (MMK) dengan komitmen menyediakan keutamaan terhadap pelaksanaan Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Menurutnya, penyediaan tanah milik kerajaan itu dapat melancarkan kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) sekali gus membolehkan pembinaan menara telekomunikasi dapat dimulakan segera.

"Isu tapak menara sudah selesai dan kini sebanyak 191 menara baharu akan dibina di Pahang di bawah program Jendela dengan memberi keutamaan kepada kawasan luar bandar dan pedalaman.

"Pembinaan menara telekomunikasi baharu ini bagi memastikan penduduk di Pahang dapat menikmati capaian internet dan liputan yang lebih baik," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau menjelaskan sebanyak 270 menara baharu yang dirancang di bawah pelaksanaan fasa 1 Jendela bermula tahun 2020 sehingga tahun ini.

Tambahnya, daripada jumlah itu, 28 menara telekomunikasi sudah dibina pada tahun 2020 manakala 51 lagi pada tahun lalu dan bakinya 191 menara akan dilaksanakan tahun ini.

"Tujuh syarikat telah dilantik oleh kerajaan dalam projek pembinaan menara telekomunikasi dan proses pelaksanaan dibahagikan kepada dua peringkat. Peringkat pertama melibatkan kerja pembinaan infrastruktur menara dan aksesorinya manakala peringkat kedua pula berkaitan dengan penyediaan peralatan elektronik serta penyediaan rangkaian perkhidmatan.
 
Share this article
Follow