Media & Events

Khidmat 5G di Malaysia Murah, Mampu Milik

15 Nov 2021, Berita Harian

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan mewujudkan Rangkaian Pemborong Tunggal (SWN) bagi pelan pelaksanaan 5G akan membantu menurunkan kos akhirnya kepada pengguna, sekali gus menjadikan harga perkhidmatan rangkaian itu lebih murah dan mampu dimiliki.

Pakar telekomunikasi, Prof Dr Tharek Abd Rahman, berkata kemungkinan itu adalah disebabkan rangkaian 5G menggunakan spektrum yang setara dengan lebih cekap, manakala kos penyelenggaraan turut dikendalikan oleh satu penyedia yang sama.Beliau berkata, menerusi satu penyedia untuk aplikasi SWN oleh Digital Nasional Bhd (DNB), pertindihan sumber tidak akan berlaku dan spektrum dapat digunakan dengan adil oleh semua pengendali rangkaian.Keadaan itu juga, katanya mampu mempercepatkan lagi proses liputan 5G ke seluruh negara berbanding pelaksanaan 4G sebelum ini yang mengambil masa sehingga 10 tahun. "Ia keutamaan yang diberikan perhatian oleh kerajaan bagi pelaksanaan 5G. SWN mampu mengurangkan harga akhir kepada pengguna serta mempercepatkan pelaksanaan 5G," katanya kepada BH

Menjelaskan dengan lebih lanjut, Tharek berkata seadainya setiap syarikat telekomunikasi (telco) membina infrastruktur sendiri seperti 4G sebelum ini, ia menyebabkan implikasi terhadap kos pelaksanaan dan menjadikan harga lebih tinggi kerana setiap syarikat mempunyai kos penyelenggaraan dan pembinaan berbeza. "Penyedia SWN akan memberi tumpuan kepada menyediakan infrastruktur untuk spektrum 5G seperti membina menara telekomunikasi, manakala pengendali rangkaian lain dapat menggunakan infrastruktur itu dan menambah usaha untuk meningkat dan menambah baik perkhidmatan runcit mereka. "Oleh itu, pelaksanaan rangkaian 5G akan lebih berdaya maju dan lebih cepat berbanding ketika pelaksanaan rangkaian 4G apabila setiap pengendali melaksanakannya secara berasingan. "Pengguna juga dapat meraih manfaat dengan lebih banyak dari segi perkhidmatan rangkaian," katanya.

Tharek berkata, model pemilikan tunggal itu akan membolehkan kos pelaksanaan dan penyelenggaraan dapat dikawal, manakala infrastruktur dapat dilaksanakan dengan pantas. Dalam bahasa mudahnya, beliau berkata DNB akan menjadi penyedia tunggal seperti peranan yang dilaksanakan oleh Tenaga Nasional Bhd (TNB) dan Telekom Malaysia Bhd (TM). Dalam masa sama, katanya, ia membolehkan setiap syarikat telekomunikasi yang akan menjadi peruncit kepada rangkaian 5G menikmati kapasiti kelajuan yang sama. "Tiada lagi kawasan yang akan mendapat liputan yang perlahan dan ada kawasan yang laju seperti yang berlaku ketika ini. "Perkongsian bersama menjadikan semua pengguna akan mendapat kelajuan yang sama. Seperti yang dilaksanakan TNB, semua mendapat bekalan elektrik yang sama," katanya.

Pelaksanaan rangkaian 3G dan 4G sebelum ini menyaksikan kapasiti dikongsi antara semua penyedia perkhidmatan. Sebagai contoh, spekutrum 100MHz akan dikongsi lima penyedia, menyebabkan setiap satunya hanya mampu menyediakan 20MHz kepada pengguna. Sebaliknya, menerusi SWN, spektrum 100MHz akan digunakan secara bersama semua penyedia, menjadikan kelajuan 5G akan lebih pantas dan menyeluruh.

Mengulas lanjut, Tharek berkata pelaksanaan 5G secara tunggal oleh DNB perlu dikawal selia oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), sema seperti pelaksanaan projek infrastruktur yang lain. Beliau berkata, ia berikutan tiada persaingan yang wujud, menyebabkan pengguna tidak mempunyai pilihan untuk beralih syarikat telekomunikasi.

Justeru, katanya, MCMC perlu menjadi badan yang memantau dan mengawal selia ketat pelaksanaan 5G oleh DNB, seiring dengan hak keperluan pengguna. DNB adalah sebuah syarikat tujuan khas (SPV) milik Kementerian Kewangan yang ditubuhkan awal tahun ini, bertanggungjawab untuk pelaksanaan SWN bagi 5G di Malaysia. SPV itu akan menjadi penerima tunggal spektrum 5G, terdiri daripada 700 megahertz (MHz), 3.5 gigahertz (GHz) dan 26/28GHz, bersama dengan lesen borong. Pada Julai lalu, ia memberikan kontrak infrastruktur 5G kepada Ericsson Malaysia selepas menjalankan langkah tender rangkaian 5G.

Share this article
Follow