Media & Events

KKMM-Kelantan kerjasama tingkat potensi keusahawanan

05 Sep 2021, Harian Metro

Kota Bharu: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan bekerjasama dengan kerajaan Kelantan untuk mewujudkan satu inisiatif bagi menggalakkan perkembangan digital ekonomi negeri berkenaan, kata Menterinya Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, usaha tersebut bertujuan memperkembangkan daya keusahawanan penduduk, yang menguruskan perniagaan secara dalam talian sekali gus menambah pendapatan dan meningkatkan produktiviti golongan itu.

Menurutnya, kolaborasi itu akan dilaksanakan antara kerajaan negeri dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Telekom Malaysia Bhd (TM), malah perbincangan selanjutnya akan diadakan dalam masa terdekat.

"Perkara ini memerlukan satu rangka tindakan yang teratur untuk membolehkan pembangunan keusahawanan di Kelantan kerana ia terkenal dengan negeri yang mempunyai banyak bakat peniaga dan perusahaan sama ada industri kraf atau domestik lain yang sepatutnya boleh dikembangkan ke pasaran dunia.

."..dan menggunakan sepenuhnya konsep digital ekonomi yang pada masa ini menjadi rebutan semua negara di dunia. Justeru, konsep pembangunan digital ekonomi haruslah direbut Kelantan kerana ia mempunyai potensi dari segi daya keusahawanan yang sedia ada," katanya.

Annuar berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan bersama Jawatankuasa Penyelaras KKMM Kelantan, di Wisma Persekutuan di sini, hari ini.

Pertemuan yang berlangsung hampir dua jam itu, antaranya membincangkan perkembangan semasa berhubung setiap program di bawah KKMM peringkat negeri Kelantan termasuk Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Share this article
Follow