Media & Events

KKMM, PDRM kerjasama pantau penularan video bunuh diri

15 Jul 2021, Kosmo

PUTRAJAYA – Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memantau penularan video berkaitan bunuh diri di laman sosial.

Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, KKMM memandang serius perkara itu bagi mengelak gejala peniruan bunuh diri (copycat suicides) yang berlaku dalam kalangan masyarakat.

“KKMM akan pantau perkara ini dan kita percaya polis juga memantaunya kerana secara lazimnya satu bentuk pemberitahuan akan diberi kepada pihak polis untuk perkara (video) itu dipadamkan,” katanya pada sidang akhbar secara maya, hari ini.

Terdahulu, Saifuddin mempengerusikan Mesyuarat Penyelarasan Pelan Komunikasi Sokongan Kesihatan Mental bagi membincangkan perkembangan semasa pelaksanaan inisiatif sokongan kesihatan mental.

Pasukan yang ditubuhkan daripada pelbagai agensi dan kementerian itu bertujuan untuk membantu menyelesaikan tekanan yang dihadapi masyarakat ketika negara masih lagi berdepan pandemik Covid-19 ketika ini.

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek memaklumkan pihaknya akan bertindak melakukan empat perkara jika mendapati sesuatu paparan di laman sosial menjurus kepada perbuatan bunuh diri.

“Perkara tersebut sudah semestinya akan dilapor kepada polis untuk tindakan dan pengendali laman sosial tersebut akan dipanggil jika ia didapati disebarkan di negara ini selain video berkenaan turut dipadam.

“KKMM juga akan melaporkan kepada pihak Kementerian Kesihatan (KKM) agar menyediakan pasukan maklum balas teknikal bagi mengatasi masalah tersebut,” jelasnya. 

Share this article
Follow