Media & Events

MCMC dan Sarawak Multimedia Authority (SMA) Meterai Memorandum Persefahaman CIPM Perkasakan Pengurusan Permit Infrastruktur Komunikasi di Negeri Sarawak

02 Apr 2022
KUCHING, 2 April 2022 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Kerajaan Negeri Sarawak melalui Sarawak Multimedia Authority (SMA) telah bertukar dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) untuk melaksanakan Sistem Communication Infrastructure Permit Management (CIPM) di negeri Sarawak semalam.

Pertukaran dokumen tersebut dibuat pada Majlis Pertukaran Dokumen MoU sempena program Sarawak Utility and Telecommunication Conference 2022 yang disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Haji Julaihi Bin Haji Narawi, di Kuching.Di bawah MoU tersebut, Kerajaan Negeri Sarawak melalui SMA telah bersetuju untuk mengguna pakai sistem CIPM kelolaan MCMC bagi menambah baik proses pengurusan permit sedia ada selain mengurangkan ketirisan pada pendapatan Kerajaan Negeri Sarawak. Melalui penggunaan sistem ini, ianya akan dapat memastikan struktur menara yang didirikan oleh pihak penyedia perkhidmatan mempunyai kelulusan daripada Kerajaan Negeri Sarawak serta dapat mengenal pasti struktur menara telekomunikasi yang beroperasi tanpa permit yang sah.
 
Selain itu, usaha perancangan untuk menambah baik kawasan yang tidak mempunyai liputan serta program pemutihan dan penguatkuasaan dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
 
Dengan ini, Sarawak akan menggunakan sistem CIPM selepas negeri Perlis, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Melaka, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Acara Pertukaran Dokumen MoU berkenaan telah disempurnakan oleh Pengarah MCMC Sarawak, Adiman Ajem dan Pengurus Besar SMA, Ts. Dr Zaidi Razak sambil disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Haji Julaihi Haji Narawi.

SMA.jpg
MAJLIS Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara Pengarah MCMC Sarawak, Encik Adiman Ajem (tiga dari kanan) yang mewakili Ketua Pegawai Operasi MCMC, Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dengan Ts. Dr. Zaidi Razak (dua dari kiri) mengenai pelaksanaan Communication Infrastructure Permit Management System (CIPM), yang disaksikan oleh Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Haji Julaihi Narawi (empat dari kanan).
 
Turut hadir ke Majlis tersebut adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi I (Telekomunikasi), Datuk Liwan Lagang; Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi II (Utiliti), Datuk Dr Haji Abdul Rahman Haji Junaidi; Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi, Dato’ Ir. Alice Jawan dan pihak industri.
Share this article
Follow