Media & Events

MCMC pelawa orang ramai sertai siasatan awam kajian semula standard mandatori EMF

20 Jul 2021, Bernama
PUTRAJAYA, 19 Julai -- Siasatan awam di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi mengkaji semula Standard Mandatori untuk Pancaran Medan Elektromagnet (EMF) dari Infrastruktur Komunikasi Radio-Penentuan Nombor 1 2010 (MS untuk EMF) akan diadakan bermula hari ini hingga 17 Sept.

Menurut Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kajian semula itu penting selaras dengan kemajuan teknologi komunikasi seperti 5G selain memberi jaminan kepada orang awam bahawa pancaran frekuensi radio EMF dari infrastruktur komunikasi radio dalam negara adalah selamat serta dikawal selia secara berkesan dan efisien.

Semakan semula ini antara lain akan meliputi proses kemas kini had pendedahan EMF berpandukan kepada garis panduan terkini Suruhanjaya Antarabangsa Terhadap Perlindungan Radiasi Bukan-Pengionan (ICNIRP) yang diiktiraf Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “ kata MCMC dalam kenyataan.

Justeru, MCMC mempelawa orang ramai menyertai siasatan awam tersebut dengan melakukan penyerahan secara bertulis sama ada dalam salinan cetak atau elektronik.

Kesemua salinan perlu diserahkan kepada MCMC selewat-lewatnya pukul 12.00 tengah hari,17 Sept ke alamat MCMC Menara 1, Jalan Impact, Cyber 6, 63000 Cyberjaya, Selangor atau emel; [email protected] dan faksimili 03-8688 1000 dan kesemua salinan itu perlu dinyatakan dengan Perhatian: Jabatan Pembangunan Teknologi.

Menurut MCMC, pertimbangan sewajarnya akan diberikan terhadap semua penyerahan bertulis tersebut sebelum laporan dikeluarkan dalam tempoh 30 hari selepas siasatan awam tamat.

Dokumen siasatan awam tersebut boleh dilayari di pautan : https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/PI_Mandatory_Standards_EMF-2021.pdf
Share this article
Follow