Media & Events

MCMC tinjau 13 lokasi hadapi masalah liputan internet di Jeli - Mustapa

18 Jun 2021, Bernama
KOTA BHARU, 18 Jun --Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah meninjau 13 lokasi di daerah Jeli yang menghadapi masalah liputan Internet, Februari lepas.

Menurut Ahli Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed, tinjauan itu bertujuan meningkatkan liputan Internet di kawasan terbabit.

Beliau berkata kerja-kerja menaik taraf infrastruktur bagi meluaskan liputan Internet yang berkualiti akan dilaksanakan segera, seterusnya Jeli akan dijadikan sebagai contoh pembangunan digital kawasan luar bandar.

Antara tindakan yang telah dilaksanakan ialah membina menara telekomunikasi di Kampung Rabbana, Jeli. Menara ini telah siap untuk digunakan.

Tindakan-tindakan susulan sedang dilaksanakan oleh MCMC di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA),katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) berkata seramai 180 orang murid tahun enam daripada 21 buah sekolah rendah dalam Parlimen Jeli akan menerima manfaat penganjuran kelas tuisyen bahasa Inggeris secara dalam talian bermula hari ini hingga Oktober depan.

Beliau berkata program berkenaan merupakan kerjasama pihaknya dengan Pejabat Pendidikan Daerah Jeli, Pejabat Pendidikan Daerah Tanah Merah dan Majlis Guru Besar Daerah Jeli bertujuan meningkatkan penguasaan serta kemahiran bertutur dalam bahasa Inggeris dalam kalangan murid sekaligus menggunakannya sebagai bahasa kedua dalam pertuturan harian.

Kumpulan pertama seramai 90 murid daripada lapan buah sekolah memulakan kelas mereka hari ini manakala kumpulan kedua yang disertai 90 murid daripada 13 buah sekolah akan memulakan kelas mereka esok.

Di samping itu, penumpuan juga akan diberikan dari sudut tatabahasa dan penulisan. Kelas tersebut akan diadakan pada setiap Jumaat dan Sabtu, katanya.

Menurut Mustapa, kelas tuisyen tersebut merupakan kesinambungan kepada Tuisyen Darul Falah yang dilaksanakan sejak 1995 yang memberikan tumpuan khusus kepada penguasaan bahasa Inggeris.

Ini merupakan satu kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang dilaksanakan bagi melengkapi kelas yang diadakan oleh pihak sekolah.

Dalam masa sama, satu survei akan diadakan dalam kalangan pelajar bagi mendapatkan maklum balas mengenai PdPR, penggunaan peranti seperti telefon pintar atau komputer riba dan liputan Internet di kawasan mereka, katanya.
Share this article
Follow