Media & Events

MYTV susun semula frekuensi siaran Myfreeview

05 Jun 2020, Bernama

PUTRAJAYA, 5 Jun -- MYTV Broadcasting Sdn Bhd (MYTV) akan melakukan kerja-kerja penyusunan semula frekuensi siaran digital TV di stesen pemancar TM Pelangi, Skudai, Gunung Pulai di Johor Bahru, Johor dan stesen pemancar Bukit Bauk di Terengganu.

Dalam kenyataan hari ini, MYTV berkata perubahan frekuensi itu adalah sejajar dengan perancangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk menyediakan frekuensi dalam jalur 700 MHz bagi kegunaan perkhidmatan jalur lebar atau 5G.

Jadual kerja-kerja penyusunan semula frekuensi akan dilakukan antara pukul 1.00 pagi dan 6.00 pagi, iaitu pada 9, 10 dan 11 Jun bagi stesen-stesen pemancar di Johor manakala 16 Jun bagi stesen pemancar di Terengganu, katanya.

"Kawasan yang terlibat adalah keseluruhan Johor Bahru, Pasir Gudang dan Skudai. Manakala bagi kawasan pemancar di Terengganu, kawasan yang terlibat adalah Dungun, Bukit Besi dan Ketengah," katanya.

Oleh demikian, MYTV menasihati pengguna untuk meletakkan dekoder atau TV berintegrasi digital (IDTV) mereka di dalam keadaan ‘standby mode’.

Katanya sekiranya terdapat masalah penerimaan siaran selepas kerja penyusunan frekuensi itu, pengguna perlu melakukan penalaan semula dekoder atau IDTV bagi mendapatkan frekuensi baharu atau menyemak senarai frekuensi baharu di laman sesawang MYTY https://www.mytvbroadcasting.my/pdf/Lists-of-frequency.pdf

Share this article
Follow