Media & Events

PEDi bantu pengusaha inap desa celik IT, tingkatkan pelanggan

17 May 2022, Berita Harian
Kota Bharu: Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) membantu seorang pengusaha inap desa untuk mengembangkan perniagaannya. Pemilik My Friend Homestay, Mohd Fauzi Che Abdullah, 66, berkata, pada awalnya beliau langsung tidak pandai dan tidak mengambil tahu berkenaan Internet. Pesara polis itu berkata, selepas bersara, beliau pulang ke kampung di Beris Panji dan bekerja sebagai pemandu teksi di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP). Katanya, pada 2017, seorang pelanggan wanita yang bekerja di Singapura menaiki teksinya dan bertanya sama ada mempunyai inap desa untuknya tumpang bermalam sebelum membawanya pulang ke rumah untuk bertemu isteri, Wan Normah Ismail, 68.

“Wanita itu bermalam di rumah kami semalam dan keesokannya dia memberi wang RM50 kepada isteri walaupun kami cuba menolak kerana membantunya dengan ikhlas. Akhirnya isteri akur dan mengambil wang berkenaan. Tercetus idea untuk kami membina inap desa dan beberapa bilik untuk memudahkan pelanggan teksi atau pelancong luar datang untuk menginap. Kini kami mempunyai beberapa inap desa yang sentiasa mendapat sambutan selepas saya mempelajari Internet di PEDi di Padang Tembak, Pengkalan Chepa,” katanya yang mengusahakan inap desa di Kampung Beris Panji di sini.

Bapa kepada empat orang anak itu berkata, pada awalnya, beliau tidak mempunyai pengetahuan dalam bidang Internet kerana selama ini tiada keperluan untuk mempelajarinya. Katanya, namun, selepas dicadangkan oleh pelancong wanita itu, dia mula membuka minda dan bertekad mahu mempelajari Internet sehingga berjaya. “Saya pergi ke pusat Internet dan berjumpa dengan pengurus PEDi sebelum menceritakan masalah serta hasrat saya. Daripada situ, saya bersama pengusaha sektor perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) yang lain menghadiri beberapa siri kelas yang dianjurkan oleh PEDi. “Untuk tambah ilmu, saya juga datang secara bersendirian untuk bertanya pelbagai persoalan yang tidak faham dan tidak tahu cara hendak buat.

“Dengan bantuan berterusan daripada pusat Internet, rakan yang lebih pandai, saya semakin yakin untuk menguruskan inap desa termasuk menjawab soalan pelanggan di Facebook, WhatsApp, e-mel serta turut mengiklankan inap desa di Booking.com dan Agoda.com,” katanya.
Share this article
Follow