Media & Events

Pelan Hala Tuju IR 4.0, Digital Nasional akan diumum

01 Sep 2020, Berita Harian

KUALA LUMPUR: Hala Tuju Komprehensif Revolusi Perindustrian 4.0 (IR 4.0) dan Digital Nasional akan diumumkan dalam tempoh terdekat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, hala tuju itu lebih menyeluruh dan mantap bagi memastikan pelaksanaan infrastruktur digital di negara ini dapat memanfaatkan semua rakyat serta memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Katanya, hala tuju itu dijangka merangkumi lima hingga enam komponen termasuk pembangunan bakat digital, teknologi baharu, ekonomi segalanya, masyarakat dan berkaitan kerajaan.

"Apa yang akan dilakukan adalah membabitkan kerjasama antara kerajaan, swasta dan masyarakat," katanya pada Invest Malaysia 2020 Siri Ketiga Virtual yang dianjurkan Bursa Malaysia Bhd dan Macquarie di sini, hari ini.

Mengenai pelaksanaan 5G, Saifuddin berkata, peralihan kepada teknologi itu akan dilaksanakan sebaik saja platform di bawah 4G yang mantap tercapai sejajar dengan rancangan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak 71 demonstrasi kes penggunaan 5G yang diterajui sektor swasta iaitu Celcom, Digi, edotco, Maxis, PETRONAS, Telekom Malaysia, U Mobile, YTL dan rakan ekosistem merangkumi penyedia penyelesaian digital,  kementerian, agensi serta vendor.

Katanya, demonstrasi kes kegunaan dijalankan merentasi tujuh negeri iaitu Kedah, Pahang, Penang, Perak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan dengan jumlah pelaburan industri RM131 juta.

Selain itu, jelasnya projek terbabit memberi tumpuan kepada memudahkan dan memupuk pembangunan holistik dan insklusif ekosistem 5G yang akan merangsang permintaan dan penggunaan.

"Sangat penting bagi Malaysia mempercepatkan kemajuan penyambungan fiber optik dan 4G bagi memastikan pelaksanaan 5G dilakukan dengan cekap dan berkesan.

"Ini akan memanfaatkan pengguna tanpa peningkatan ketara dalam kos perkhidmatan, industri mampu menawarkan penyelesaian masing-masing menggunakan 5G manakala penyedia perkhidmatan menggunakan rangkaian yang dilaburkan dengan cepat,.

"Ekosistem yang sihat akan menyumbang secara ketara kepada agenda nasional Digital Malaysia dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK)," katanya.

Share this article
Follow