Media & Events

Pentingnya Didikan Keselamatan Internet

21 May 2019, BERNAMA
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kerajaan perlu memberi kuasa kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk memadam paparan maklumat berunsur fitnah dan berbaur perkauman di media sosial.

Pensyarah Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Nur Izura Udzir berkata langkah itu dapat mengekang kandungan negatif daripada terus berleluasa dalam dunia maya.

Ia juga penting bagi mewujudkan persekitaran penggunaan Internet yang selamat untuk masyarakat khususnya kanak-kanak dan remaja yang juga mudah terdedah kepada kandungan berunsur lucah serta keganasan yang berupaya merosakkan pemikiran mereka.

Nur Izura yang juga Pengerusi Kempen Sekeluarga Tolak Pornografi (SToP) berkata Kajian Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara pada 2014 mendapati 35.3 peratus remaja terdedah kepada pornografi.

Sebanyak 60.8 peratus remaja memperoleh akses laman web pornografi menerusi internet, 35 peratus melalui telefon pintar manakala 20 peratus adalah daripada cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) lucah.

“Antara kesan negatif penggunaan Internet ialah bagaimana mudahnya bahan dan kandungan berunsur lucah boleh dicapai dan didapati melalui Internet, yang lebih dipermudahkan melalui peranti atau gajet mudah alih,” katanya.

Langkah memadam paparan fitnah dan lucah di media sosial perlu dilaksanakan bagi membasmi penggunaan internet ekstrem yang boleh mengakibatkan ketagihan sehingga mengancam kesihatan fizikal dan mental, selain mengawal pendedahan terhadap ancaman siber seperti penipuan dalam talian, gangguan siber, kecurian siber, buli dan lain-lain.

Pada 2018, MCMC menerima 237 kes berkaitan kandungan jelik dan sehingga Mac tahun ini, sebanyak 110 kes terbabit telah dilaporkan kepada agensi itu. 

Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) di bawah Seksyen 211 (Larangan Terhadap Pemberian Kandungan Jelik) mempunyai peruntukan yang membolehkan tindakan penguatkuasaan diambil ke atas perkhidmatan aplikasi kandungan atau individu yang menggunakan perkhidmatan aplikasi kandungan untuk memberikan kandungan yang sumbang, lucah, palsu, mengancam atau jelik sifatnya dengan niat untuk mengacau, mendera, mengugut atau menggangu mana-mana orang.

Seseorang yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari atau sebahagian daripada sehari kesalahan diteruskan selepas pensabitan.

SKMM TIADA BUTANG MAGIS

Ketua Pegawai Pematuhan MCMC Zulkarnain Mohd Yassin menjelaskan internet adalah dunia tanpa sempadan dengan berbilion kandungan dimuat naik secara global dalam masa 60 saat.

Hal ini menyukarkan agensi itu untuk memantau setiap kandungan yang dimuat naik dalam Internet terutamanya di media sosial.

MCMC juga tidak melakukan pemantauan meluas terhadap salah laku di internet dan media sosial, selaras dengan pendirian kerajaan dalam melindungi kebebasan, hak dan privasi rakyat Malaysia.

“MCMC tidak mempunyai butang magis bagi memadam atau menurunkan sebarang kandungan yang dimuat naik di laman web, aplikasi dan media sosial dalam sekelip mata.

“Selain tindakan sekatan ke atas laman sesawang yang didapati melanggar peruntukan undang-undang di Malaysia, MCMC juga menjalinkan kerjasama dengan pihak penyedia platform media sosial seperti Facebook, YouTube dan Twitter bagi memadam atau menurun kandungan yang berunsur negatif serta didapati melanggar peruntukan undang-undang,” jelas beliau.

Menurutnya kawalan kendiri adalah amat penting dan agensi itu mahu mendidik masyarakat ke arah penggunaan internet secara positif sebagai budaya atau cara hidup. 

MCMC turut menggariskan penggunaan internet secara positif berteraskan tiga aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab, dengan menekankan aspek kawal selia diri, bagi melindungi diri sendiri atau orang lain daripada paparan negatif.

SISTEM ADA LIMITASI

Pembangun aplikasi web Rafiq Sharman Khamis berkata jika mahu memberi kuasa memadam kandungan kepada MCMC, modus operandi atau kaedah yang bakal digunakan agensi itu perlulah diperhalusi supaya benar-benar berkesan.

Beliau berkata kerja mengawal kandungan internet sememangnya sukar namun, pihak terbabit boleh mempelajari kaedah yang digunakan penyedia aplikasi seperti Facebook. 

Facebook menggunakan teknologi Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan yang boleh mengesan imej yang dimuat naik pengguna sama ada sesuai atau tidak untuk paparan umum.

Jika didapati tidak sesuai, Facebook akan mengambil tindakan dengan mengaburkan imej tersebut atau terus menyekat paparan tersebut.

Penggunaan aplikasi ‘live’ menjadi perdebatan netizan susulan kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch, New Zealand, yang mengorbankan 50 nyawa pada 15 Mac lepas.

Kandungan yang dimuat naik menerusi aplikasi itu sukar dikawal memandangkan ia bersifat ‘live’ atau secara langsung serta boleh dimuat turun. 

Bagaimanapun, Facebook dilaporkan memadam lebih 1.2 juta video serangan itu yang dimuat naik dalam laman media sosial itu serta menyekatnya daripada dipaparkan di platform tersebut.

Rafiq Sharman berkata setiap sistem mempunyai limitasi dan masih memerlukan manusia untuk memastikan sesuatu kandungan itu boleh diguna atau tidak.

Menurutnya tapisan paling tepat perlu dilakukan oleh manusia dan ini melibatkan pengguna sendiri untuk memberi maklum balas kepada sistem terbabit atau melaporkan kepada pihak berwajib.

“Semakin ketat kita bina sistem untuk menapis maklumat, mereka yang kurang bertanggungjawab pula sentiasa mencari lompong untuk 'menewaskan' sistem sedia ada,” jelasnya.

KAWAL KANDUNGAN NEGATIF

Nur Izura menyenaraikan langkah-langkah asas yang boleh diambil pengguna, khususnya pihak institusi dan ibu bapa, untuk mengawal kandungan negatif.

Beliau berkata institusi boleh menyekat capaian ke laman web tertentu dengan mengawal tetapan konfigurasi di 'gateaway' Internet manakala ibu bapa dan pengguna domestik boleh memasang perisian khas dalam peranti seperti komputer dan telefon pintar.

Antara perisian tersebut ialah Qustodio, Net Nanny, Symantec Norton Family Premier dan Kaspersky Safe Kids.

Ibu bapa juga boleh menggunakan perisian kawalan yang disediakan syarikat komunikasi seperti MaxisONE Kid, dan The Digi Family Safety apps, Kidslox dan HyppTV Parental Control.

"Selain itu, pastikan ‘pop-up blocker’ dan mod kanak-kanak diaktifkan pada peranti yang digunakan," katanya.

Bagi laman YouTube, ibu bapa boleh memilih Mod Terhad untuk menapis video yang tidak sesuai serta menggunakan enjin carian selamat yang dikhususkan untuk kanak-kanak seperti Kiddle, AskKids dan DuckDuckGo selain sentiasa memeriksa laman web yang dilawati anak-anak.

Meskipun langkah-langkah tersebut dapat membantu namun, ia bukanlah penyelesaian yang menyeluruh atau berkekalan. 

“Anak-anak membesar dan mereka akan lebih mahir dan berpengetahuan tentang selok belok penetapan Internet dan gajet.

“Apa yang lebih penting ialah mendidik kanak-kanak tentang keselataman Internet dan risiko-risikonya, serta ancaman yang menanti,”kata Nur Izura.

Mereka juga perlu didedahkan tentang keselamatan Internet seperti laman web dan aktiviti yang dibenarkan, kepentingan menjaga maklumat peribadi termasuk kepentingan merahsiakan kata laluan dan memilih kata laluan yang sukar dikesan.

“Ajar mereka untuk memberitahu ibu bapa sekiranya ada perkara yang tidak selesa berlaku di Internet...dan didik anak-anak dengan perasaan malu supaya menghormati dan menghargai diri sendiri,” katanya.

Selain itu, katanya, didikan agama dan moral adalah benteng terbaik daripada pengaruh negatif dan ibu bapa perlu bersikap terbuka selain sentiasa berkomunikasi dengan anak-anak.
Share this article
Follow