Media & Events

Perkhidmatan telekomunikasi di Nanga Ngungun kembali pulih

14 Dec 2022, Utusan Borneo

SIBU: Gangguan perkhidmatan selular dan internet yang menjejaskan penduduk rumah panjang di sekitar Nanga Ngungun di Kanowit sejak 7 Disember lalu dipulihkan lebih awal hari ini.

Seorang penduduk Nur Sabrina Abdullah berkata, dia menyedari perkhidmatan telekomunikasi kembali pulih ketika bangun untuk menyediakan susu formula untuk anaknya yang berusia dua tahun.

"Perkhidmatan kembali sekitar jam 2 pagi," katanya ketika dihubungi melalui WhatsApp.

Nur Sabrina berkata, semalam empat kakitangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Sarawak dan Celcom pergi menemuinya dan seorang lagi penduduk rumah panjang Timah Chendan berikutan aduan mereka mengenai perkara itu yang diterbitkan akhbar tempatan pada Isnin.

Nur Sabrina berkata, kedua-dua mereka dibawa ke tapak menara telekomunikasi di Bukit Melapi dan diberi penerangan mengenai masalah set generator yang menyebabkan menara itu mengalami masalah penghantaran transmisi.

“Pihak SKMM telah menjelaskan kerja-kerja yang sedang dilakukan di tapak menara untuk memulihkan perkhidmatan.

“Mereka juga memaklumkan bahawa perkhidmatan akan dipulihkan selewat-lewatnya semalam (Selasa) walaupun mereka tidak dapat menganggarkan masa yang sepatutnya.

“Turut dijelaskan bahawa mereka tidak mampu membawa set generator masuk ke dalam perkarangan menara berikutan keadaan jalan masuk ke menara berkenaan.

"Genset itu terletak kira-kira 100 meter dari menara dan jalan masuk masih belum dibaiki oleh kontraktor jalan," katanya.

Nur Sabrina juga mengadu kepada pasukan dari SKMM dan Celcom bahawa perkhidmatan telekomunikasi sering terputus selepas jam 5 petang.

“Pihak SKMM dan Celcom memberitahu kejadian itu berpunca beberapa tetapan kuasa teknikal di menara yang mengambil masa kira-kira 45 minit untuk memulihkan bekalan kuasa.

“Saya memberitahu mereka bahawa apabila itu berlaku, kami akan mengalami terputus internet dan isyarat telefon sehingga keesokan pagi.
 
"Mereka memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat gangguan perkhidmatan," katanya.

Nur Sabrina dan Timah berasa lega apabila aduan mereka berhubung isu telekomunikasi mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil.

“Bagi kami di kawasan luar bandar, amat bermakna untuk mendapatkan menteri dari Putrajaya untuk menjawab keluhan dan kesusahan kami.

“Jika tidak kerana menteri memberi maklum balas, mungkin akan mengambil masa lebih lama untuk perkhidmatan telekomunikasi kita dipulihkan.

“Kami amat berharap masalah ini tidak akan berlaku lagi pada masa hadapan,” kata mereka.

Share this article
Follow