Media & Events

Promosi produk, tingkat ilmu kraftangan melalui Internet

17 May 2022, Berita Harian
Labuan: Usia tidak pernah menghalang usahawan warga emas, Dayang Aisah Ibrahim, 70, untuk menterjemahkan minatnya terhadap seni kraftangan anyaman bakul dan dijadikan sebagai produk jualan. Pesara guru itu berkata, beliau menceburi bidang pembuatan bakul anyaman pada tahun 2015 dengan mempelajari cara menganyam bakul daripada keluarga besannya yang terdiri daripada etnik Iban dan mahir dalam bidang anyaman.

Katanya, selepas menguasai kemahiran menghasilkan kraftangan bakul anyaman beliau mula giat menghasilkan sendiri kraftangan untuk dijual. “Selain daripada bakul anyaman, saya juga menganyam takiding (bakul anyaman bertali yang disandang di belakang seperti beg sandang), mini bakul untuk cenderamata, dulang anyaman di samping turut mengait alas meja,” katanya. Ibu tunggal kepada enam orang anak itu berkata, sebelum ini beliau memperkenalkan produk buatannya secara bersemuka namun setelah mendaftar menjadi ahli Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi), beliau giat mempromosikan produk kerja tangannya menerusi Internet.

Menurutnya, menerusi Internet juga beliau dapat meningkatkan lagi ilmu pengetahuan, khususnya mencari idea menarik dan baharu untuk membuat rekaan bakul. Kebiasaannya, beliau mengambil tempoh masa dua hari untuk menghasilkan sebuah bakul anyaman bergantung pada saiz bakul. “Biasanya, dalam seminggu saya boleh menyiapkan dua hingga tiga bakul anyaman. Bakul anyaman dijual bermula dari RM30 sehingga RM80 bergantung pada saiz dan rekaan. Kalau menerima tempahan khas, harganya akan lebih tinggi sedikit. “Produk bakul anyaman yang sudah disiapkan akan diletakkan di PEDi dan staf di sana membantu saya menjualnya menerusi Internet dengan menggunakan pelbagai platform. Kadangkala, saya juga akan menjual produk di karnival selain menerima tempahan secara terus,” katanya yang turut menerima banyak tempahan dari luar Labuan terutamanya Brunei.

Anak jati Labuan itu berkata, beliau mula mengenali PEDi, apabila seorang staf PEDi yang datang ke di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) dan melihat beliau mengajar membuat bakul anyaman serta produk bakul anyaman dihasilkannya. “Staf itu bertanya siapa yang mengajar membuat kraftangan bakul anyaman dan kemudian mengajak saya untuk ambil kursus dan belajar menggunakan komputer di PEDi. “Di PEDi, saya diajar staf PEDi menggunakan Internet termasuk membuka YouTube untuk melihat tutorial rekaan bakul anyaman terutamanya rekaan dari luar negara.

“Saya dan rakan usahawan lain akan duduk beramai-ramai melihat video di YouTube dan cuba mempraktikkan apa yang ditunjukkan. Kebanyakan masa saya memang banyak dihabiskan di PEDi dan juga PAWE. Saya seronok dan teruja setiap kali dapat menimba banyak ilmu baharu,” katanya.
Share this article
Follow