Media & Events

SKMM turun padang atasi masalah capaian internet

27 Jun 2021, Sinar Harian
KLUANG - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Johor bertindak proaktif dalam mengatasi masalah capaian internet lemah di negeri ini khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman melalui kerjasama dengan syarikat telekomunikasi dan wakil rakyat.

Pengarahnya, Muhammad Azhar Zakaria berkata, sejak pandemik Covid-19 aduan diterima berhubung masalah itu semakin meningkat disebabkan banyak aktiviti dan kerja dari rumah memerlukan perkhidmatan terbabit selain sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR).

Bagi mengatasi masalah itu katanya, pihak SKMM mengambil pendekatan lebih proaktif termasuk bekerjasama dengan wakil rakyat dan syarikat telekomunikasi untuk turun ke lokasi yang dikenal pasti bagi mengatasi masalah itu.

“Aduan yang kita terima hampir setiap hari dan kita lebih responsif seperti hari ini (Ahad) kita ke kawasan Simpang Renggam, semalam di Bandar Penawar, Pengerang dan sebelum itu kita ke Benut dan Segamat.

“Selain aduan daripada orang awam, kita turut mendapat maklumat daripada wakil-wakil rakyat. Banyak aduan yang kita terima termasuk di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar macam sekarang yang kita kategorikan dalam zon tiga dan empat.

“Jadi, pendekatan yang kita ambil ialah membawa sekali wakil-wakil syarikat telekomunikasi dan wakil rakyat ke kawasan aduan yang diterima. Daripada situ, kita ambil maklum kawasan yang memerlukan perhatian dan ada antara kawasan yang sudah dalam perancangan projek pembangunan di bawah Jaringan Digital Nasional (JENDELA),” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau sebelum itu menyertai program turun padang bersama Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan wakil syarikat telekomunikasi bagi melihat kawasan-kawasan yang mempunyai capaian internet yang lemah.

Sementara itu, Maszlee berkata, Pusat Khidmat Rakyat Simpang Renggam mengambil inisiatif mengumpul lokasi-lokasi yang mempunyai masalah capaian internet susulan rungutan pelbagai pihak, khususnya mereka yang terpaksa bekerja daripada rumah dan mengikuti PdPR.

“Kita memerlukan capaian internet yang baik untuk anak-anak belajar secara PdPR, ibu bapa bekerja dari rumah, para peniaga atas talian (COD) untuk melakukan perniagaan, siswa dan siswi mengikuti kuliah dalam talian serta rakyat yang berhubung sesama ahli keluarga yang tidak dapat pulang ke kampung sejak wabak Covid-19.

“Terlalu banyak rungutan yang kita terima sehinggakan ada yang terpaksa belajar di tepi jalan, masuk kebun dan naik ke atas bukit bagi mendapatkan capaian internet yang lebih baik.

“Sebab itu kita gerakkan usaha mengumpul lokasi yang bermasalah ini dan saya bawa bersama SKMM dan syarikat telekomunikasi untuk melihat sendiri masalah yang dihadapi dan bersama-sama mencari penyelesaian.

“Saya berterima kasih kepada SKMM yang sangat responsif dan memberikan kerjasama yang cukup baik, begitu juga dengan syarikat-syarikat telekomunikasi yang ada. Mereka juga bergerak aktif demi meluaskan capaian internet di dalam kawasan Parlimen Simpang Renggam,” katanya.
Share this article
Follow