Media & Events

Teknologi Komunikasi Perkasa Masyarakat Hadapi Krisis COVID-19

17 May 2020, Bernama

Rencana ini adalah sempena sambutan “ Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia” yang disambut pada 17 Mei.

KUALA LUMPUR (Bernama) -- Cuba bayangkan sekiranya pandemik COVID-19  yang melanda hampir seluruh dunia ketika ini berlaku pada sekitar 80an dan awal 90an, sebelum wujud ledakan teknologi maklumat.

Sudah tentunya banyak kekangan untuk penyebaran informasi mengenai penyakit dan usaha yang dilakukan kerajaan serta negara lain bagi memerangi wabak maut yang sudah menjangkiti lebih empat juta penduduk dunia ini.

Sekiranya dahulu masyarakat bergantung kepada sumber telekomunikasi seperti radio dan televisyen untuk mendapatkan maklumat, namun perkembangan teknologi hari ini membuatkan “segala-galanya berada di hujung jari” dengan penggunaan internet serta teknologi komunikasi dan maklumat (ICT).

 Situasi ini sudah tentu menjadikan masyarakat dunia lebih cakna termasuk isu-isu semasa, sesuai dengan tema sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinfromasi Sedunia 2020 iaitu  “Connect 2030: ICT  For Sustainable Development Goals”.

Sambutan untuk tahun ini memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT sebagai pemangkin pembangunan pintar untuk memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial.

 

ICT  KUKUH EKONOMI DAN  KEHIDUPAN RAKYAT

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataannya sempena sambutan Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia menyebut, ketika dunia dilanda pandemik COVID-19,  teknologi dan komunikasi menjadi landasan untuk pengukuhan ekonomi  dan kehidupan rakyat walaupun dalam situasi yang sukar ketika ini.

Merapatkan jurang digital bagi mengukuh dan memperkasakan ekonomi masyarakat menjadi komitmen utama negara agar masyarakat terus berhubung  dan berupaya untuk mendapat manfaat daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi.

Penggunaan jalur lebar di negara ini membantu rakyat mendapat faedah untuk kehidupan yang lebih baik.

Pada tahun 2019, jumlah langganan jalur lebar di negara ini adalah sebanyak 43.38 juta. Daripada jumlah itu, 2.95 juta merupakan langganan jalur lebar tetap, meningkat 10 peratus berbanding 2.66 juta pada 2018.

Sementara itu, langganan mudah alih pula meningkat sebanyak 10 peratus pada 2019 kepada 40.43 juta berbanding 36.79 juta pada 2018.

Begitu juga dengan perkhidmatan liputan yang semakin berkualiti dan meluas. Liputan 3G pada 2019 adalah 95.5 peratus berbanding 2018, iaitu 94.7 peratus, manakala  liputan 4G LTE pula meningkat pada paras 82.2 peratus pada 2019 berbanding 79.7 peratus pada 2018.

Kesemua peningkatan ini  didorong oleh faktor peluasan liputan, kemampuan yang lebih besar serta kualiti perkhidmatan yang lebih baik dengan peningkatan penggunaan data dan telefon pintar.

Menurut MCMC, kesalinghubungan ini akan terus mempengaruhi kehidupan rakyat terutama dengan pelaksanaan teknologi 5G yang sedang dilaksanakan.

 

KEPANTASAN MAKLUMAT

Perkembangan dunia hari ini menyaksikan maklumat bercambah serta berubah dengan begitu pantas sekali.

Dalam keadaan tertentu terutama suasana ancaman seperti wabak COVID-19, maklumat perlu disampaikan dan digarap dengan seberapa pantas yang boleh. Kelewatan menerima maklumat boleh mencetuskan masalah dan kemudaratan  yang lebih besar.

 Menurut Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr  Sawal Hamid Md Ali, sumber maklumat bukan sahaja diperlukan untuk menjadikan masyarakat lebih berinformasi tetapi ia penting untuk menjadikan masyarakat lebih peka dengan acaman di sekeliling mereka.

 “Untuk menjadikan masyarakat lebih berinformasi, keupayaan untuk mengakses maklumat terkini  harus dipertingkatkan terutama dengan penggunaan ICT seperti internet dan satelit yang mampu merealisasikan penghantaran maklumat dengan pantas,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Perkembangan teknologi tanpa wayar yang pesat juga dapat meningkatkan kemampuan penghantaran data serta maklumat berskala besar dalam masa yang lebih singkat.

Dengan adanya teknologi seperti peralatan komunikasi mudah alih, maklumat terkini boleh diakses dengan lebih mudah dan berkesan.

“Bagaimanapun, perkembangan teknologi pesat ini mempunyai cabaran tersendiri di mana masyarakat perlu dididik agar mempunyai kemampuan menapis maklumat dan memastikan maklumat itu adalah benar,” katanya.

 

PERANAN BESAR ICT DALAM HADAPI  KRISIS

Dalam situasi semasa, ketika mendepani pandemik COVID-19,  akses kepada maklumat sangat penting dalam usaha memastikan kesejahteraan dan kesihatan rakyat terpelihara.

Sebagai contoh, tiga siri Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP1, PKP2 dan PKP3 yang dilaksanakan kerajaan membuktikan negara mampu membendung penularan wabak berbahaya ini.

Pensyarah Kanan Fakulti Bahasa Moden dan  Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Syed Agil Syed Alsagoff berkata, langkah yang dilaksanakan kerajaan bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 dalam kalangan rakyat bergantung kepada advokasi media dan komunikasi.

Pelbagai medium telekomunikasi  digunakan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat yang menjadi kepentingan  terutama bagi menentukan keberkesanan amalan normal baharu dalam masyarakat.

Menurut beliau, normal  baharu ini tentunya akan mengubah landskap kematangan cara masyarakat  kita berfikir, melakukan sesuatu dan menilai tahap keselamatan serta kesihatan masing- masing.

“Dalam erti kata lain, media berstrategik bagi menyokong tindakan kerajaan mengubah minda masyarakat kita berfikir dan melaksanakan peranan mereka mengikut  nilai normal baharu dalam era digital,” katanya kepada  Bernama.

Jelas beliau lagi, kempen advokasi sosial melalui pelbagai medium media menjadikan masyarakat lebih berinformasi tentang amalan normal baharu termasuk menjalani nilai kehidupan masyarakat dengan lebih positif.

Paling penting maklumat yang disampaikan melalui media harus berupaya mengasingkan persepsi negatif masyarakat yang beranggapan nilai pembudayaan normal baharu ini akan menjejaskan kepercayaan mereka terhadap amalan keagamaan dan tradisi masyarakat, katanya.

“Maklumat melalui medium telekomunikasi yang ada tidak kira radio, televisyen, internet , telefon pintar dan sebagainya dapat menyampaikan  informasi kepada masyarakat bagi memacu amalan pengawalseliaan kendiri dari segi penjagaan kesihatan, kebersihan dan juga mendidik masyarakat  membuat keputusan positif terhadap penjagaan kendiri,” katanya.

 

KAWALSELIA KENDIRI MAKLUMAT

Dalam usaha  memacu penggunaan teknologi makumat digital,  masyarakat harus berubah dan mengalihkan strategi mereka dengan menggunakan teknologi komunikasi secara lebih cekap, efisyen dan berupaya menyampaikan maklumat dengan lebih pantas dan berpengaruh.

Menurut Syed Agil, kerajaan melalui MCMC harus menubuhkan Pusat Advokasi Maklumat Kebangsaan yang berfungsi  untuk membantu dan mendidik masyarakat mengamalkan pengawalseliaan kendiri.

Ini akan membolehkan masyarakat membuat keputusan penelitian kendiri terhadap maklumat  yang tular di media  sosial.

“Dengan cara ini juga akan menggalakkan lebih banyak penyaluran maklumat positif terutama amalan normal baharu dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Informasi yang bermanfaat dalam krisis kesihatan terutama  pada pasca COVID-19 dengan amalan  normal baharu akan menjadi tunggak pada peradaban manusia hari ini dan akan datang.

Share this article
Follow