Media & Events

Waran tangkap terhadap lelaki dituduh buat video lucah

31 May 2023, Harian Metro

Setiu: Mahkamah Sesyen di sini, hari ini mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang jurujual selepas gagal hadir bagi pertuduhan berkaitan hantaran video lucah terhadap bekas teman wanita.

Waran itu dikeluarkan Hakim Ahmad Fadhli Mahmud terhadap Muhammad Iqyyum Basri, 25, selepas menerima permohonan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM), Siti Hajar Sulaiman.

Siti Hajar berkata, Muhammad Iqyyum yang juga Orang Kena Saman (OKS) yang beralamat di Negeri Sembilan tidak hadir ke mahkamah hari ini walaupun pihaknya sudah mengeluarkan surat saman pada 18 Mei lalu bagi pendengaran kes.

"OKS juga gagal dihubungi sejak semalam dan hari ini, kita mohon waran tangkap dikeluarkan terhadap OKS," katanya.

Mengikut pertuduhan, OKS didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang lucah sifatnya dengan niat untuk menyakiti hati orang lain menggunakan aplikasi WhatsApp.

Video itu telah dilihat di Bandar Permaisuri di sini, pada jam 8.24 malam, 8 Mac 2022.

Bagi kesalahan itu, OKS yang didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 26 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Share this article
Follow