Media & Events

Filem 'Babi': MCMC Gesa Seniman Tampil Kemukakan Aduan

13 Dec 2020
Susulan laporan polis yang dibuat oleh Persatuan Seniman Malaysia (SENIMAN) kelmarin terhadap siaran filem kontroversi arahan Wee Meng Chee atau Namewee berjudul ‘Babi’, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) hari ini meminta SENIMAN untuk tampil mengemukakan aduan kepada pihak Suruhanjaya bagi membolehkan penilaian dibuat terhadap kandungan yang diadukan.

Proses penelitian terhadap kandungan yang diadu boleh dibuat berdasarkan kepada peruntukan-peruntukan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Selain AKM, penelitian lanjut juga boleh dibuat oleh agensi-agensi penguatkuasaan yang berkenaan mengikut peruntukan undang-undang lain yang terpakai berkaitan dengan kandungan atau penyiaran kandungan.

Sekiranya hasil penelitian dan siasatan yang dijalankan mendapati terdapat unsur pelanggaran terhadap peruntukan undang-undang sedia ada, maka tindakan penguatkuasaan boleh diambil oleh agensi yang berkenaan selaras kesalahan yang dilakukan mengikut undang-undang.

Pada 19 November 2020 lalu, MCMC telah berhubung dengan pihak YouTube berhubung dengan trailer filem ‘Babi’ yang dimuat naik dalam saluran YouTube milik Namewee, namun masih menunggu maklum balas daripada pihak mereka yang berpangkalan di luar negara. 

PDF
Share this article
Follow