Media & Events

Hina Islam, Nabi Muhammad SAW Dan Isteri: Dua Individu Disoal-Siasat

30 Apr 2019
HINA ISLAM, NABI MUHAMMAD SAW DAN ISTERI: DUA INDIVIDU DISOAL-SIASAT
  • Serbuan dibuat di dua lokasi iaitu di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor
  • Kesalahan-kesalahan yang dilakukan meliputi perbuatan memuat naik kandungan jelik dan menghina terhadap Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda serta kesucian agama Islam
CYBERJAYA, 30 April 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) baru-baru ini telah menyoal-siasat dua orang individu yang menggunakan laman Facebook mereka untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri baginda, Aisyah RA serta kesucian agama Islam di negara ini.
Menurut Ketua Bahagian Penguatkuasaan dan Siasatan MCMC, Dato’ Mohd Shafie Harun, siasatan dijalankan susulan laporan yang diterima MCMC daripada orang ramai supaya tindakan segera diambil terhadap pihak yang berkenaan.

Ujarnya, kedua-dua individu berkenaan telah dirakamkan percakapan mereka dalam satu serbuan serentak yang dikendalikan dengan kerjasama pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Semporna, Sabah dan Kajang, Selangor.

Dato’ Shafie menambah, kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh kedua-dua suspek menjurus kepada perbuatan memuat naik kandungan-kandungan bersifat jelik dan menghina dengan niat untuk mengganggu dan menyakitkan hati orang lain.

“Dalam kes pertama membabitkan pengguna akaun Facebook bernama ‘Auni Zaara’, suspek memuat naik mesej yang menghina Nabi Muhammad dan isteri baginda. Manakala dalam kes kedua pula membabitkan pengguna akaun Facebook ‘Fadhillah Abdulhamid’, suspek memuat naik kandungan bersifat jelik terhadap agama Islam dan Nabi Muhammad dengan kata-kata yang cukup menghina.
 
Dalam serbuan tersebut, 2 telefon bimbit, 3 kad SIM dan 1 kad memori telah dirampas untuk siasatan lanjut,” tambah beliau.

Kes-kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Sabit kesalahan, denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Dato’ Shafie menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati menyalahgunakan laman media sosial untuk menyebarkan hantaran atau mesej berbaur penghinaan yang boleh mengundang kemarahan orang awam.

PDF
Share this article
Follow