Media & Events

Ikuti Proses Melaporkan Berita Atau Kandungan Tidak Benar

14 Jul 2021
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) memandang serius sebarang penyebaran berita atau kandungan tidak benar terutamanya melalui aplikasi-aplikasi pemesejan dalam talian seperti WhatsApp yang boleh mengakibatkan ketakutan, panik, kegusaran atau kekecohan kepada orang awam, yang seterusnya berpotensi memudaratkan negara terutamanya dalam keadaan menghadapi pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, MCMC menggesa mana-mana pihak yang terkesan dengan penyebaran berita atau kandungan tidak benar untuk mengambil langkah-langkah berikut:

1) Membuat laporan polis di balai polis yang berdekatan bagi membolehkan siasatan dijalankan. Sertakan sekali dengan bukti seperti tangkap layar (screenshot) serta pautan (URL) kepada kandungan berkenaan, termasuklah maklumat seperti nama dan maklumat individu (ID akaun dan nombor telefon) yang melakukan sebaran untuk membantu siasatan.

2) Membuat kenyataan penafian atau penjelasan terhadap sebarang dakwaan yang tidak benar atau tidak tepat, bagi menghentikan berita atau kandungan berkenaan daripada terus disebarluaskan.

3) Membuat laporan penyalahgunaan secara terus kepada penyedia platform seperti Facebook, Twitter, Instagram, YouTube, TikTok dan sebagainya yang terlibat dalam memastikan penggunaan adalah mengikut terma perkhidmatan serta piawaian komuniti yang ditetapkan oleh pihak mereka, yang berpangkalan di luar negara.

MCMC sentiasa komited untuk memberikan kerjasama bantuan teknikal kepada pihak PDRM dalam siasatan yang akan membantu tindakan penguatkuasaan diambil oleh pihak PDRM.

Selain itu, MCMC ingin menasihatkan orang awam agar memanfaatkan portal Sebenarnya.my dengan menyalurkan maklumat yang diragui kesahihannya melalui ruangan “Salur Kepada Kami” (https://sebenarnya.my/salur/). Maklumat-maklumat tersebut kemudiannya akan disalurkan kepada Kementerian dan Agensi yang berkenaan untuk tujuan pengesahan.

Berhenti menyebarluaskan sebarang kandungan yang diragui atau tidak ditentukan kesahihannya. Ini adalah tanggungjawab kita secara kolektif dalam mengekang penyebaran maklumat atau berita tidak benar dan seterusnya memutuskan rantaian berita tidak benar yang boleh mendatangkan mudarat.

PDF

 
Share this article
Follow