Media & Events

Insiden Remaja Bunuh Diri Selepas Undian Di Instagram

15 May 2019
INSIDEN REMAJA BUNUH DIRI SELEPAS UNDIAN DI INSTAGRAM
  • Seorang remaja berumur 16 tahun di Sarawak bunuh diri selepas mengadakan undian di Instagram
  • Di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan, adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri
  • Pengguna media sosial digesa untuk sentiasa prihatin dan bertanggungjawab
Merujuk kepada laporan media baru-baru ini berhubung kes seorang remaja berumur 16 tahun di Sarawak yang dikatakan telah mengambil keputusan untuk membunuh diri setelah mengadakan undian di Instagram, pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) ambil maklum bahawa kes ini masih dalam siasatan pihak polis termasuk sama ada undian di Instagram tersebut mempunyai unsur-unsur subahat.
 
Untuk makluman, di bawah Seksyen 305 Kanun Keseksaan adalah menjadi kesalahan untuk menyubahati perlakuan kesalahan membunuh diri oleh orang berumur kurang daripada 18 tahun. Sabit kesalahan boleh dihukum penjara 20 tahun dan dikenakan denda. Dalam hal ini, pihak MCMC bersedia untuk memberi apa-apa bantuan dari segi teknikal sekiranya diperlukan oleh pihak polis.
 
Sesungguhnya, media sosial merupakan satu platform untuk pengguna Internet termasuk golongan remaja berkomunikasi dan melakukan perkara-perkara yang bermanfaat. Justeru, sebagai pengguna media sosial yang prihatin dan bertanggungjawab, sekiranya mereka mendapati terdapat rakan dalam talian yang dilihat cenderung ke arah membunuh diri, laporan boleh dibuat dengan segera kepada pihak polis untuk penelitian dan tindakan lanjut. Selain itu, mereka juga dinasihatkan untuk memaklumkan perkara tersebut kepada anggota keluarga terdekat mahupun sahabat handai kepada individu berkenaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini.
 
Sekiranya mereka menemui sebarang kandungan yang jelik, sumbang ataupun yang menjurus kepada buli siber, boleh melaporkan terus perkara tersebut kepada pihak MCMC menerusi e-mel [email protected] atau WhatsApp 016-2206 262 untuk tindakan lanjut.  MCMC akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang terlibat berlandaskan kepada undang-undang sedia ada.
 
Bagi mereka yang berhadapan dengan masalah kemurungan, keseorangan dan terdorong untuk membunuh diri, mereka adalah digalakkan untuk mendapatkan bantuan kaunseling dan emosi daripada kumpulan sokongan seperti The Befrienders menerusi pelbagai cara sama ada melalui e-mel [email protected], perjumpaan secara terus mahupun talian hotline 24 jam mereka di 03-7956 8145.
 
Pelbagai langkah boleh diambil bagi membantu mereka yang memerlukan termasuklah mengambil serius akan luahan yang dikemukakan, menasihatkan mereka untuk berbicara secara terbuka mengenai masalah yang dihadapi dan sentiasa mendapatkan bantuan profesional.
 
Kepada pengamal media pula, mereka adalah dinasihatkan untuk lebih peka dengan sebarang penyiaran gambar atau visual si mangsa dalam laporan mereka. Ini bagi menjaga privasi dan perasaan kaum keluarga yang terlibat.
Share this article
Follow