Media & Events

Jom Kunjungi Kembara Digital Malaysia 2019

26 Jul 2019
JOM KUNJUNGI KEMBARA DIGITAL MALAYSIA 2019
 
  • Kunjungi gerai MCMC di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada hujung minggu ini
  • Kenali dengan lebih lanjut inisiatif-inisiatif digital MCMC di Kembara Digital Malaysia 2019
 
CYBERJAYA, 26 Julai 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mempamerkan inisiatif-inisiatif digital di bawah seliaannya seperti Klik Dengan Bijak (KDB), TV Digital, Sukarelawan ICT Malaysia (MIV), Digital Lifestyle Malaysia (DLM), Pusat Internet Malaysia (PIM), Mobile e-Waste dan Check Your Label pada program Kembara Digital Malaysia (KDM) anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) yang akan berlangsung selama dua (2) hari bermula esok (Sabtu, 27 Julai 2019) di Ipoh, Perak.

Orang ramai diminta untuk mengambil bahagian dan memanfaatkan peluang ini untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai inisiatif-inisiatif digital ini yang mampu mempengaruhi kualiti hidup mereka pada masa akan datang.

Sebagai contoh, para pengunjung akan mendapat tip-tip penting berhubung penggunaan Internet secara berhemah berpandukan kepada tiga teras utama iaitu Keselamatan, Waspada dan Tanggungjawab. Inisiatif PIM pula memperkasakan taraf hidup rakyat menerusi perkhidmatan jalur lebar. Inisiatif Check Your Label akan memberi kesedaran kepada orang ramai terhadap pentingnya menggunakan kelengkapan komunikasi yang diperakui.

Di samping itu, pameran mengenai perkhidmatan siaran TV Digital myFreeview memberi kesempatan kepada pengunjung mendapatkan gambaran dan pengalaman lebih mendalam berhubung kewujudan perkhidmatan siaran TV digital yang disediakan secara percuma kepada Rakyat tanpa sebarang yuran bulanan. Perkhidmatan siaran TV Digital ini menjanjikan kualiti siaran dan audio yang lebih baik, penambahan kandungan dan saluran TV seperti saluran Sukan RTM HD, radio serta aplikasi baharu yang akan disediakan dalam jangka panjang.
 
Matlamat MCMC adalah untuk mewujudkan kesedaran dan mendidik rakyat supaya menjadi celik digital agar tidak ketinggalan dalam arus pendigitalan negara.

Kunjungi kami di gerai MCMC di Bulatan Sultan Azlan Shah, Ipoh pada hujung minggu ini.

PDF
Share this article
Follow