Media & Events

Kegiatan Pengambilalihan Akses Kepada Akaun Pemesejan Segera Milik Individu Berprofil Tinggi

07 May 2019
KEGIATAN PENGAMBILALIHAN AKSES KEPADA AKAUN PEMESEJAN SEGERA MILIK INDIVIDU BERPROFIL TINGGI  
  • MCMC menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi
  • Suspek cuba mempengaruhi mangsa untuk memuat turun dan memasang sesebuah aplikasi ke dalam sistem telefon mangsa dan seterusnya mendapat akses aplikasi berkenaan   
CYBERJAYA 7 MEI 2019  
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima aduan mengenai insiden pengambilalihan akses kepada akaun yang didaftarkan atas nombor telefon milik individu berprofil tinggi.   

Perkara ini menjurus kepada penipuan dengan melakukan penyamaran sebagai individu yang berpengaruh, dan cuba mempengaruhi mangsa untuk memuat turun dan memasang aplikasi pemesejan segera seperti Telegram dan Viber ke dalam sistem telefon mangsa.   

Seterusnya, mangsa akan diminta untuk berkongsi kod pengesahan (verification code) yang dihantar kepada peranti telefon milik mangsa. Perkongsian kod pengesahan tersebut akan membuka ruang kepada suspek untuk mengambil alih akaun berkenaan, serta mendapati akses kepada kandungan-kandungan yang terhubung-kait (synchronized) dengan akaun tersebut seperti senarai hubungan (contact list).   

Ini membolehkan suspek menggunakan akaun yang dikompromi untuk membuat penyamaran dan memperdaya penerima dalam senarai tersebut dengan menghantar pesanan palsu. Pesanan palsu itu boleh memberi impak negatif kepada pemilik nombor termasuk melibatkan identiti mereka dalam kegiatan jenayah.   

Sehubungan dengan itu, orang ramai diingatkan supaya memastikan aplikasi-aplikasi dalam telefon mereka sentiasa dikemas kini. Jika ada menerima panggilan atau mesej yang mencurigakan daripada pihak yang mengakui sebagai individu yang berpengaruh, buat pengesahan terlebih dahulu dan elak daripada berkongsi kod pengesahan yang diterima supaya aplikasi tidak dapat diambil alih oleh pihak ketiga.   

Sekiranya menjadi mangsa, laporkan dengan segera kepada pihak polis untuk penelitian dan tindakan lanjut.  

MCMC sedar bahawa modus operandi penipuan dalam talian akan berubah mengikut peredaran masa dan akan memaklumkan kepada orang ramai dari semasa ke semasa supaya mereka mengambil langkah berjaga-jaga.  

Pihak MCMC juga terus memperkasakan orang ramai melalui inisiatif Klik Dengan Bijak yang memberi penekanan kepada pengguna Internet tentang kepentingan kawal selia kendiri.  
Share this article
Follow