Media & Events

Kenyataan Media: Industri Telekomunikasi Tawar Pakej Khas Dan Komitmen Bernilai RM1 Bilion

27 Mar 2020
INDUSTRI TELEKOMUNIKASI TAWAR PAKEJ KHAS DAN KOMITMEN BERNILAI RM1 BILION  

Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) berjumlah RM250 bilion yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini ternyata merupakan langkah yang tepat untuk membantu rakyat yang terkesan akibat impak COVID-19. 
 
Industri telekomunikasi dan multimedia adalah antara sektor yang telah mendapat perhatian khusus dalam pakej tersebut. Beberapa pakej khas akan ditawarkan dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi, termasuk usaha-usaha menambah baik rangkaian telekomunikasi, yang secara kolektifnya bernilai RM1 bilion. 
 
Antara pakej khas yang akan ditawarkan ialah internet percuma dengan nilai RM600 juta bermula 1 April 2020 sehingga tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Keselamatan (PKP) tamat. Ia termasuk inisiatif-inisiatif seperti berikut: 
 
a) Semua pelanggan Pascabayar dan Prabayar Celcom, Digi, Maxis, dan U Mobile akan menerima internet berkelajuan tinggi percuma 1GB sehari, untuk digunakan antara jam 8 pagi dan 6 petang, bermula 1 April 2020, dan akan berkuat kuasa sepanjang tempoh pelaksanaan PKP;

b) Panggilan percuma ke talian hotline National Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), Pusat Pengurusan Operasi Negara dan Jabatan Kesihatan Negeri 
 
Syarikat-syarikat telekomunikasi juga turut memberi komitmen untuk melabur RM400 juta sehingga suku kedua tahun ini untuk meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian bagi mengekalkan ketersediaan dan kualiti rangkaian telekomunikasi yang tinggi dan mampan. Pelaburan ini juga akan meningkatkan liputan dan keupayaan rangkaian untuk tapak kritikal seperti hospital, agensi kerajaan, agensi penguatkuasaan dan pusat-pusat media.  
 
Dalam masa yang sama, Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan terus dilaksanakan untuk menambah baik kesalinghubungan digital negara, terutamanya di kawasan luar bandar. Sebanyak RM3 bilion telah diperuntukkan oleh Kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) seperti yang diumumkan dalam Pakej Rangsangan Ekonomi 1 pada 27 Februari 2020 untuk pelaksanaan enam (6) projek di bawah NFCP (NFCP 1-6) bagi tahun 2020. Projek-projek tersebut akan dibiayai sepenuhnya melalui Kumpulan Wang Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) di bawah kawal selia dan tadbir urus MCMC. 
 
Sementara itu, perkhidmatan pos dan kurier komited untuk membantu usahawan menjalankan perniagaan secara e-dagang selain dari meneruskan perkhidmatan seperti biasa untuk rakyat Malaysia. Syarikat-syarikat pos dan kurier utama turut bersedia untuk menyediakan perkhidmatan tambahan seperti berikut: 
 
a) Perkhidmatan penghantaran barang pos dan kurier tidak melebihi 1 kilogram pada caj RM5 tidak termasuk cukai bagi perkhidmatan penghantaran di dalam Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

b) Kadar tersebut hanya ditawarkan kepada pengguna yang berdaftar di portal digital setiap penyedia perkhidmatan pos dan kurier. Pendaftaran di portal bertujuan untuk meningkatkan kecekapan usahawan dalam menguruskan kiriman mereka serta menggalakkan penggunaan kaedah tanpa tunai;

c) Caj perkhidmatan penghantaran itu berkuat kuasa selama enam (6) bulan bermula dari 15 April sehingga 15 Oktober 2020. 
 
Selain itu, syarikat-syarikat pos dan kurier serta telekomunikasi juga telah menyumbangkan dana berbentuk pembiayaan tunai, sistem dan peralatan ke Tabung GLC Disaster Relief Network (GDRN) berjumlah RM8.75 juta yang akan dikendalikan oleh Yayasan Hasanah, sebuah yayasan milik Khazanah Nasional dan disumbangkan kepada Kementerian Kesihatan. Senarai dan jumlah sumbangan adalah seperti berikut: 


 
Axiata dan Celcom juga telah menubuhkan Program Bantuan COVID-19 Axiata iaitu satu dana khas berjumlah RM150 juta untuk membantu 150,000 syarikat-syarikat mikro-SME yang terjejas dan ia akan disalurkan melalui platform mikro-kewangan Aspirasi. 
 
Pada ketika rakyat mematuhi PKP untuk tinggal di rumah, para penyiar swasta seperti Astro dan unifi TV sedia menawarkan akses tontonan secara percuma. 
 
a) Astro
- Menawarkan 14 saluran filem dan 11 saluran berita percuma; semua saluran percuma untuk pelanggan pakej sukan;
- 22 saluran percuma menerusi aplikasi Astro-On-The-Go dan saluran KIX, Nat GEO WILD, Celestial Movies dan Cartoon Network untuk pelanggan NJOI; dan
- Pelanggan perniagaan Astro, dibenarkan untuk menggantung perkhidmatan tanpa sebarang caj.  
 
b) unifi TV  
- Menawarkan akses percuma ke semua saluran (lebih 100 saluran);dan  
- 20% diskaun untuk setiap filem pilihan perkhidmatan Video-onDemand. 

 MCMC yakin inisiatif-inisiatif yang diumumkan ini dapat meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19, di samping membolehkan kesalinghubungan yang berterusan supaya rakyat melaksanakan tugasan harian mereka dengan lebih efisien. 
 
Untuk butiran lanjut mengenai pakej-pakej yang ditawarkan sepanjang tempoh PKP, pihak awam digalakkan untuk merujuk atau menghubungi syarikat-syarikat penyedia perkhidmatan masing-masing. 
 
-Tamat- 
 
PDF
 
Share this article
Follow