Media & Events

Kenyataan Media: Saluran Telegram Rasmi Tangani Penyebaran Berita Palsu

16 Mar 2020
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah mewujudkan sebuah saluran Telegram rasmi bagi portal Sebenarnya.my yang akan memberikan fokus kepada usaha untuk menangani penyebaran berita palsu di media sosial termasuk isu Covid-19.

Pihak awam yang mempunyai kemusykilan mengenai sesuatu berita termasuk Covid-19, sama ada ia sahih atau palsu, boleh mendapatkan pengesahan maklumat mutakhir dengan pantas dan tepat melalui pautan https://t.me/sebenarnyamy.

Berita yang dimuat naik dalam saluran rasmi Telegram Sebenarnya.my itu akan ditentusahkan oleh pihak berkuasa seperti Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam hal Covid-19.

Dalam hal Covid-19 khususnya, MCMC akan berkongsi semua kandungan sama ada yang berbentuk berita, pengumuman, kesedaran, peringatan mahupun soalan-soalan lazim yang telah ditentusahkan oleh pihak KKM sama ada melalui akaun media sosial rasmi mereka, mahupun melalui Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC), KKM yang dipetik daripada pautan:  https://t.me/cprckkm.

Usaha menangani berita palsu adalah tanggungjawab bersama. Oleh itu, pihak awam dinasihatkan agar tidak menyebarkan berita yang belum dipastikan kesahihannya bagi mengelakkan kekeliruan yang tidak diingini. MCMC akan terus mempergiatkan usaha penguatkuasaan dalam mengawal penularan berita palsu demi kemakmuran bersama. 

PDF
Share this article
Follow