Media & Events

Laporan Prestasi Industri (IPR 2020) Industri Komunikasi dan Multimedia Kekal Mampan (Cont')

22 Jul 2021
LAPORAN PRESTASI INDUSTRI (IPR 2020): INDUSTRI KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA KEKAL MAMPAN HARUNGI CABARAN

CYBERJAYA, 22 Julai 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multmedia Malaysia (MCMC) telah menerbitkan Laporan Prestasi Industri (IPR) bagi tahun 2020. IPR merupakan satu laporan ulasan berkaitan dengan prestasi tahunan industri komunikasi dan multimedia (C&M) selain memberikan prospek terhadap industri berkenaan untuk tahun 2021.

Tahun 2020 merupakan tempoh yang mencabar bagi industri C&M, berikutan pandemik COVID-19 yang mengakibatkan persekitaran pasaran terkesan oleh disruption terhadap permintaan serta kemunculan beberapa trend baharu. Di sebalik cabaran-cabaran yang dihadapi, industri C&M bagaimanapun kekal mampan, berikutan meningkatnya permintaan terhadap perkhidmatan yang ditawarkan, hasil peningkatan transaksi dan pembelian dalam talian, hiburan, serta aktiviti belajar dan bekerja di rumah (WFH). Industri C&M menyumbang 7.9%, atau RM142.96 bilion daripada jumlah keseluruhan permodalan pasaran Bursa Malaysia iaitu sebanyak RM1,817.29 bilion pada tahun 2020. Namun begitu, permodalan pasaran industri C&M susut sebanyak 0.7% pada tahun 2020 berbanding tahun sebelumnya akibat pandemik COVID-19.

Seperti dijangka, penggunaan teknologi dan kesalinghubungan meningkat dengan mendadak oleh individu dan isi rumah, serta menyumbang kepada sentimen pasaran positif terhadap sektor komunikasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang dilancarkan pada Ogos 2020 bagi menambah baik infrastruktur digital dan kesalinghubungan berjaya mengurangkan kesan akibat pandemik terhadap sektor ini. Pada tahun 2020, permodalan pasaran sektor telekomunikasi meningkat sebanyak 0.3% kepada RM134.42 billion.

Sementara itu, sektor pos dan kurier turut mencatatkan pertumbuhan yang ketara disebabkan oleh pertambahan jumlah bungkusan yang dihantar menerusi platform e-dagang. Pelaksanaan PKP dan penjarakan sosial menyebabkan ramai pengguna beralih kepada pembelian dalam talian untuk sebahagian besar barangan, termasuk keperluan harian. Ini menambah keyakinan pelabur terhadap sektor ini, dengan peningkatan permodalan pasaran sebanyak 19.9% kepada RM3.25 bilion pada tahun 2020.

Sebaliknya, sektor penyiaran terus berhadapan dengan tekanan pada tahun 2020 akibat sikap lebih berhati-hati pengiklan sepanjang tempoh pandemik serta pembatalan beberapa acara sukan berstatus besar seperti Sukan Olimpik Tokyo dan Liga Europa UEFA. Saingan pemain Over the Top (OTT) turut memberi kesan terhadap sektor ini. Faktor-faktor ini menyumbang kepada kemerosotan permodalan pasaran sebanyak 27.4% kepada RM5.29 bilion pada tahun 2020.

Manakala, langganan segmen TV berbayar (Pay TV) meningkat sebanyak 3.1%, daripada 7.12 juta langganan pada tahun 2019 kepada 7.34 juta pada tahun 2020, hasil peningkatan langganan khidmat Internet Protocol Television (IPTV).

Industri C&M kekal mampan pada tahun 2020 dalam berhadapan cabaran pandemik COVID-19 yang mewujudkan norma baharu dalam kehidupan masyarakat. Laporan penuh IPR 2020 boleh dilayari di pautan https://www.mcmc.gov.my/skmmgovmy/media/General/pdf/MCMC-IPR_2020.pdf.


PDF
 
Share this article
Follow