Media & Events

Malaysia Developers' Day(MDD) Kembali Lagi Di KL Converge! 2015

15 Jun 2015
CYBERJAYA, 15 JUN 2015 - Syarikat telekom gergasi Amerika Syarikat, AT&T akan kembali menganjurkan Malaysia Developers’ Day (MDD) edisi ASEAN dari 27 hingga 28 Ogos ini bersempena dengan acara KL Converge! 2015 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Memasuki edisi ketiga penganjurannya, MDD akan menjadi sebahagian daripada tarikan utama KL Converge! 2015, sebuah acara yang berlatarkan platform digital dan industri kreatif anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), MCMC dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

MDD yang turut dianjurkan bersama oleh MCMC, dijangka menghimpunkan para peserta daripada 10 buah negara-negara ASEAN yang bakal berentap untuk mencipta aplikasi mudah alih dalam tempoh 24 jam. Bertemakan “Internet of Things – Building a Connected Life, Connected Car and Connected Home,” kreativiti, inovasi serta daya ketahanan mental para peserta bakal teruji apabila mereka dikehendaki untuk menyiapkan aplikasi mudah alih dalam tempoh yang ditetapkan selain memastikan aplikasi yang dicipta itu mempunyai nilai kebolehpasaran.

Untuk edisi MDD kali ini, dua kategori baharu akan dipertandingkan iaitu kategori Aplikasi Terbaik untuk Inovasi Media dan Aplikasi Terbaik untuk Gaya Hidup dan Hiburan manakala kategori Aplikasi Terbaik untuk Pembabitan Komuniti yang dipertandingkan pada tahun lalu, dikekalkan.

Pasukan yang berjaya mencipta aplikasi mudah alih terbaik untuk ketiga-tiga kategori itu berpeluang untuk memenangi wang tunai bernilai USD1,000. Menariknya, para pemenang daripada ketiga-tiga kategori itu juga kemudiannya berpeluang membentangkan aplikasi mudah alih mereka pada majlis makan malam KL Converge! yang akan berlangsung pada 29 Ogos nanti bagi merebut hadiah utama bernilai USD10,000. Malaysia Developers’ Day 2015 Edisi ASEAN ini akan berlangsung dari pukul 9:00 pagi pada 27 Ogos sehingga 5:30 petang pada 28 Ogos 2015.

Selain pertandingan MDD, beberapa siri aktiviti menarik telah diatur sepanjang tiga hari berlangsungnya KL Converge! antaranya Program Peringkat Menteri KL Converge! 2015. Bersesuaian dengan tema KL Converge! 2015 iaitu Penumpuan dan Keterangkuman Digital, acara berkenaan akan mengetengahkan kepelbagaian teknologi, perkhidmatan dan aplikasi yang kini menjadi kunci utama bukan sahaja dalam kehidupan rakyat bahkan juga kepada pertumbuhan dan pembangunan ekonomi negara.

Dengan ASEAN kini menjadi sebuah Komuniti Ekonomi tahun ini dan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN sedar akan komitmennya kepada ASEAN TELMIN untuk meneruskan penganjuran Pertukaran Kandungan Digital ASEAN seperti yang digariskan dalam Pelan Utama ICT ASEAN 2015. Pertukaran Kandungan Digital ASEAN ini akan menjadi platform untuk mempromosi dan menjadi pemudahcara kepada pertukaran kandungan untuk rantau ASEAN dan pemain-pemain serantau yang lain. 


 PDF

Share this article
Follow