Media & Events

MCMC Akan Membentuk Sebuah Jawatankuasa Khas Untuk Mengemukakan Hala Tuju Industri Pos (Cont')

18 Mar 2019
MCMC AKAN MEMBENTUK SEBUAH JAWATANKUASA KHAS UNTUK MENGEMUKAKAN HALA TUJU INDUSTRI POS DAN KURIER NEGARA
          
KUALA LUMPUR, 18 Mac 2019 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membentuk sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada pemain-pemain industri serta pihak-pihak berkepentingan untuk mengemukakan hala tuju industri dan pelan komprehensif ke arah memperkasakan industri pos dan kurier negara.
 
Perkara tersebut diumumkan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, YB Tuan Gobind Singh Deo semasa mempengerusikan Sidang Meja Bulat bersama dengan Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Industri Perkhidmatan Pos dan Kurier serta wakil daripada Persatuan Syarikat-Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia (AMEC). Sidang meja bulat anjuran MCMC ini bertujuan untuk mengenal pasti cabaran-cabaran utama yang kini melanda pemain-pemain industri.
 
Antara objektif utama pembentukan jawatankuasa khas tersebut termasuklah untuk meneliti dasar-dasar baru dalam memastikan industri pos dan kurier negara dapat bersaing secara mampan, memodenkan sistem poskod kebangsaan bagi meningkatkan tahap produktiviti di peringkat “last mile” selain mempertingkatkan sistem keselamatan rangkaian pos dan kurier negara.
 

MENTERI Komunikasi dan Multimedia, YB Tuan Gobind Singh Deo (tengah) bersama-sama dengan pemain-pemain industri pos dan kurier pada satu Sidang Meja Bulat di Kuala Lumpur, hari ini. Turut hadir ialah Pengerusi MCMC, Al-Ishsal Ishak (tiga dari kiri).
  
Jawatankuasa Khas berkenaan akan mengemukakan hala tuju industri dan pelan tindakan yang komprehensif kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia dalam tempoh 30 hari akan datang.
 
Sebagai pengendali rangkaian “last mile” dan penggerak utama dalam menjayakan agenda ekonomi digital dalam sektor e-dagang, industri pos dan kurier telah menyumbang sebanyak 6.3% kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara pada 2017 berbanding 5.9% pada 2015.
 
Justeru, MCMC menganggarkan kapasiti kendalian perkhidmatan kurier negara perlu dipertingkatkan dari sekitar 200 juta paket setahun kepada 1,000 juta paket setahun menjelang 2025.
 
 
TAMAT
Share this article
Follow