Media & Events

MCMC dan 15 Penyedia Perkhidmatan Telekomunikasi Anjurkan Kempen Kesedaran Mengenai Penipuan/Scam SMS Dan Telefon Lindungi Pengguna

13 Jun 2021
MCMC DAN 15 PENYEDIA PERKHIDMATAN TELEKOMUNIKASI ANJURKAN KEMPEN KESEDARAN MENGENAI PENIPUAN/SCAM SMS DAN TELEFON LINDUNGI PENGGUNA
 
CYBERJAYA, 13 Jun 2021 --- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dengan kerjasama pihak penyedia perkhidmatan telekomunikasi akan menganjurkan Kempen Kesedaran Pencegahan Jenayah Telekomunikasi melibatkan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat Pesanan Ringkas (SMS), dalam usaha untuk mendidik pengguna untuk mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah-langkah yang boleh diambil dalam menghalang cubaan penipuan (scam) yang semakin berleluasa.

Bermula esok, kempen yang akan dijalankan secara berterusan untuk melindungi pengguna ini melibatkan penyertaan sejumlah 15 penyedia perkhidmatan telekomunikasi iaitu Altel, Celcom, Digi, Maxis, Merchantrade, PAVOCOMMS, RedONE, RedTone, Time, TM, TuneTalk, U Mobile, Webe, XOX dan YES.

Fokus kempen kesedaran terbabit akan tertumpu kepada tiga (3) modus operandi Jenayah Telekomunikasi iaitu:

i. Penipuan Panggilan (Vishing) – pemanggil mengaku sebagai pegawai dari badan kerajaan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Bank Negara Malaysia (BNM), mahkamah ataupun badan swasta seperti institusi perbankan memberitahu bakal mangsa bahawa mereka mempunyai masalah dengan pihak berkuasa dan kemudiannya memperdaya mangsa untuk mendedahkan maklumat peribadi dan kewangan mereka.

ii. Penipuan SMS (Smishing) – menghantar teks pesanan kononnya daripada insititusi perbankan dan menyatakan terdapat transaksi perbankan telah dilakukan dan mangsa diminta untuk membuat pengesahan dengan menghubungi nombor talian atau klik pada pautan yang disertakan.

iii. Penipuan Kod Transaksi Pengesahan (TAC) – menghubungi mangsa menggunakan pelbagai medium sebelum meminta nombor TAC, kononnya tersalah memasukkan nombor telefon milik mangsa.

Di bawah kempen ini, hebahan berkaitan dengan maklumat serta tip untuk mengenal pasti aktiviti penipuan dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk menanganinya akan dikongsi secara menyeluruh di pelbagai platform media sosial seperti Facebook, Twitter, laman sesawang selain penggunaan hashtag.

Penganjuran kempen kesedaran tersebut adalah langkah susulan MCMC dalam usaha mendidik pengguna dari menjadi mangsa penipuan selain tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan secara berterusan dengan kerjasama pihak PDRM bagi membendung masalah penipuan (scam).

Bagi tempoh antara tahun 2020 sehingga bulan Mei 2021, sejumlah 1,290 kes telah dilaporkan kepada MCMC. Mereka yang terlibat boleh didakwa di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala tindakan penamatan nombor talian tetap/mudah alih yang didapati terbabit dalam aktiviti penipuan dibuat di bawah Seksyen 263 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Berdasarkan rekod PDRM, sejumlah 5,725 kes penipuan panggilan telah dilaporkan kepada mereka sepanjang tahun 2019 dengan nilai kerugian sebanyak RM254,586,210.94. Angka berkenaan meningkat pada tahun 2020 apabila sejumlah 6,003 kes telah dilaporkan dengan nilai kerugian sebanyak RM287,301,039.90. Sehingga 24 Mac 2021 yang lalu, jumlah kes penipuan panggilan yang telah dilaporkan kepada PDRM adalah sejumlah 1,392 kes dengan nilai kerugian sebanyak RM38,198,730.01.

Ini merupakan peningkatan yang ketara dan merupakan situasi yang perlu ditangani segera.

Sehubungan itu, MCMC ingin mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan panggilan atau SMS yang diterima daripada pihak tidak dikenali dan mencurigakan. Segera rujuk atau laporkan perkara tersebut kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk perhatian dan tindakan susulan.

Pengguna juga boleh menyalurkan maklumat dan membuat aduan berhubung insiden penipuan (scam) kepada pihak PDRM CCID Scam Response Centre melalui talian 03-2610 1559/03-2610 1599 yang dibuka setiap hari daripada pukul 8.00 pagi sehingga 8.00 malam.

 

PDF

Share this article
Follow